Lupus hutang Felda: Betul ada umum pada 2021, tetapi tidak dilaksanakan - Shabery

Astro Awani
Julai 8, 2023 23:45 MYT
Katanya, Kerajaan Perpaduan memberi komitmen membayar RM1 bilion setahun kepada Felda untuk menyelesaikan hutang berkenaan.
KUALA LUMPUR: Pengerusi baharu Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak gopoh dalam memberi komen berhubung pelupusan hutang peneroka Felda.
Mengakui ketika Muhyiddin menjawat jawatan Perdana Menteri ada menyatakan untuk membayar RM1 bilion setahun selama 10 tahun yang sepatutnya dibayar mulai 2022, tetapi perkara itu tidak dilaksanakan.
Sebaliknya jelas beliau, ia hanya janji yang tidak dilaksanakan termasuk tiada bukti hitam putih dengan pihak Felda untuk membantu menyelesaikan hutang ditanggung entiti itu.
"Betul tahun 2021 ada diumum hutang peneroka kepada Felda dilupus tetapi Felda pula berhutang melalui sukuk untuk mengambil alih FGV Holdings Bhd (FGV), membayar hutang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Maybank dengan anggaran lebih RM9 bilion.
"Mana mana Felda nak bayar hutang?," soal Shabery dalam status di Facebooknya hari ini.
BACA: Pelupusan hutang peneroka Felda telah dilaksana ketika saya jadi PM - Muhyiddin
Sebaliknya, Shabery yang juga Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, Kerajaan Perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memutuskan jalan penyelesaian dengan Felda untuk menyelesaikan sukuk tersebut.
Katanya, Kerajaan Perpaduan memberi komitmen membayar RM1 bilion setahun kepada Felda untuk menyelesaikan hutang berkenaan.
"Alhamdulillah Felda lega dan boleh bantu peneroka," katanya.
Muhyiddin pada Sabtu mendakwa tuduhan dilemparkan oleh Anwar berhubung pelupusan hutang peneroka Felda merupakan satu pembohongan.
Muhyiddin yang kesal dengan dakwaan itu menegaskan pelupusan hutang telah dilaksanakan ketika beliau masih menjawat jawatan Perdana Menteri.
#hutang felda #Muhyiddin Yassin #pelupusan hutang #peneroka Felda
;