Lupakan tenaga nuklear, pelbagaikan tenaga boleh diperbaharui - PSM

Mariah Ahmad
April 21, 2015 04:06 MYT
Kira-kira 15 peserta menyertai protes itu yang diadakan sempena Hari Bumi esok. Foto Astro AWANI/Mariah Ahmad
Kerajaan digesa membatalkan rancangan membangunkan loji nuklear kerana ia tinggi kos dan risiko selain terdapat banyak sumber tenaga diperbaharui yang boleh dipertingkatkan, kata Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan.
Menurutnya, tenaga nuklear merupakan jenis tenaga yang bahaya dan kurang digunakan di dunia.
“Kita mahu Malaysia bebas daripada nuklear kerana ia berisiko dan bertoksik serta membahayakan kehidupan rakyat.
“Selain kurang digunakan di dunia, ia juga menelan kos besar dan berisiko tinggi. Malaysia yang kaya dengan sumber alam semula jadi tidak memerlukan nuklear,” ujar Arutchelvan.
Arutchelvan turut menuntut kerajaan mempertingkat usaha dalam mewujudkan lebih banyak tenaga yang boleh diperbaharui.
“Salurkan sumber kewangan dalam sumber tenanga diperbaharui seperti tenaga solar, angin dan ombak,” ujarnya selepas PSM mengadakan satu protes bantahan di Agensi Nuklear Malaysia kira-kira jam 11 pagi tadi.
Protes yang disertai kira-kira 15 orang itu dinamakan 'Flash Mob Tidur Bantah Nuklear' dan diadakan sempena sambutan Hari Bumi esok.

Kira-kira 15 orang menyertai protes Bantah Nuklear di hadapan Agensi Nuklear Malaysia, Bangi. @501Awani pic.twitter.com/Ndf1ZIdcUg

— Mariah Ahmad (@A_marea) April 21, 2015
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Selain memegang plakad dengan simbiol anti-radiasi dan melaungkan slogan ‘Hidup Rakyat’ dan ‘Bantah Nuklear’, para peserta protes turut berbaring di hadapan pintu masuk agensi itu sebagai simbolik impak kepada rakyat jika kerajaan meneruskan pembinaan loji nuklear.
Dalam pada itu, Arul sempat memberikan satu dokumen kenyataan akhbar PSM, ‘Malaysia Bebas Nuklear’ kepada salah seorang pegawai Agensi Nuklear Malaysia selepas membuat protes berkenaan.
Sebelum ini dalam satu laporan berita Sputnik News pada 13 April melaporkan pihak perbadanan Nuklear Rusia, Rosatom bersedia untuk membida untuk membangunkan loji tenaga nuklear yang pertama di Malaysia.
Timbalan Pengarahnya, Kirill Komarov berkata Rusia sudah bersedia untuk mengambil bahagian dalam tender walaupun Moscow dan Kuala Lumpur belum lagi mempunyai perjanjian tenaga nuklear.
Beliau berkata Moscow boleh menawarkan kerjasama dalam membina reaktor nuklear ke negara-negara yang mempunyai rancangan pembangunan tenaga nuklear, seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam.
#Arutchelvan #nuklear #Parti Sosialis Malaysia #PSM