Lupakan sengketa, kukuhkan tali persaudaraan antara kaum - Abdullah Badawi
Bernama
Julai 17, 2015 22:35 MYT
Julai 17, 2015 22:35 MYT
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berharap segala persengketaan yang berlaku dapat dilupakan terus untuk mengukuhkan tali persaudaraan sesama kaum di negara ini khusus pada sambutan Aidilfitri ini.
"Kita harap begitu. Jangan bergaduh memandangkan Hari Raya adalah hari yang baik untuk mengukuhkan persaudaraan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berkata membina kekuatan perpaduan antara rakyat adalah penting kepada kerajaan dalam usaha menguatkan lagi ekonomi sekali gus membangunkan negara dengan kejayaan lebih besar pada masa hadapan.
"Jangan biar tembok-tembok perpaduan ini menjadi retak dan runtuh apatah lagi wawasan negara untuk lihat negara maju pada 2020.
"Kunci kekuatannya adalah bergantung keamanan, keharmonian dan juga perpaduan. Rebutlah peluang di saat Aidilfitri dan Rumah Terbuka untuk terus menyusun kebersamaan dan kekuatan serta keharmonian bersama," katanya.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap pada sambutan Aidilfitri tahun ini, rakyat dapat memperkukuh perpaduan bagi memastikan keamanan negara terus terjamin.
Beliau berkata ini untuk mengelakkan kejadian provoksi seperti di Plaza Low Yat pada Ahad lepas tidak berulang lagi.
"Kalau situasi berlaku di Plaza Low Yat, kita lihat tidak ada seorang pun yang menang, semua pihak kalah. Peniaga tidak dapat berniaga dan rakyat merasa bimbang," jelasnya.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari juga berkata perpaduan antara kaum harus dikekalkan sebagai sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk.
"Kita dapat duduk bersama meraihkan perayaan Aidilfitri dalam suasana aman, tenang dan tanpa masalah," katanya.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang berkata rakyat Malaysia perlu memfokus kepada keharmonian dan perpaduan negara menyifatkan insiden Plaza Low Yat menggambarkan sifat perkauman masih wujud di negara ini.
"Kita perlu memastikan isu seperti ini tidak berulang. Mari kita bekerjasama sebagai satu pasukan bagi membina bangsa dan negara ini. Ia merupakan kekuatan negara kita," katanya.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata walaupun negara sedang menghadapi cabaran, rakyat Malaysia akan terus menyokong kerajaan dalam mengekal keamanan dan perpaduan.
"Melihat kepada ramai orang yang membanjiri rumah terbuka hari ini, ia jelas membuktikan rakyat mempunyai keyakinan kuat dan percaya kerajaan akan terus memperbaiki keadaan masyarakat.
"Ini juga menggambarkan walau apa pun bangsa seseorang itu, namun apabila tiba musim perayaan seperti ini, rakyat akan bekerjasama dan bersatu tanpa mengira bangsa dan agama, katanya.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni berkata lebih ramai warga tempatan dan asing teruja melihat perdana menteri dan yang lain di rumah terbuka ini.
Beliau juga percaya masa depan rakyat Malaysia adalah bergantung kepada semua kaum yang hidup secara harmoni.
Dengan berkata begitu, beliau juga menegaskan kuasa membeli adalah datang daripada setiap kaum di negara ini.
"Jika kita hanya memilih sesetengah kaum untuk menyumbang kepada kuasa membeli, ia akan menghalang pertumbuhan ekonomi negara," katanya.