Lupakan sambutan bunga api demi Palestin

Sinar Harian
Januari 1, 2024 09:00 MYT
Orang ramai menyertai kemuncak piket Solidariti Palestin yang berlangsung di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada Ahad. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Ketiadaan penganjuran acara sambutan ambang Tahun Baharu 2024 mendorong orang ramai membawa keluarga masing-masing menyertai malam kemuncak piket 'Kepung Demi Palestin’ yang diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, pada Ahad.
Tinjauan Sinar Harian mendapati pengunjung mula membanjiri kawasan berkenaan sekitar jam 8 malam.
Bukan hanya orang dewasa malah kanak-kanak dan pengunjung bukan Muslim termasuk pelancong asing turut hadir bagi menzahirkan solidariti mereka.
Selain membawa sepanduk, rata-rata yang datang turut memakai mafla dan melukis serta mengenakan pelekat bendera Palestin pada wajah mereka.
Acara dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum diakhiri dengan tahlil dan solat hajat khas untuk Palestin dan sempena kehadiran tahun baharu.
Menariknya, penganjuran piket berkenaan itu turut mendapat sokongan pelbagai lapisan kaum dan agama terutama daripada golongan muda.
Salah seorang peserta, R Ramasamy, 38, berkata, dia sanggup datang daripada Ijok, Kuala Selangor untuk menyertai piket aman buat pertama kali dalam hidupnya,
“Sebenarnya saya memang nak datang dari awal penganjurannya, tapi cuaca tidak mengizinkan tapi saya memang pastikan hari akhir piket dapat datang dan sama-sama sokong Palestin.
“Isu Palestin adalah isu sejagat, mana-mana agama sekalipun menentang keganasan dan apa yang berlaku di Gaza adalah satu bentuk pencerobohan juga penghapusan etnik yang harus ditentang,” katanya yang turut datang bersama anak berusia 8 dan 10 tahun.
Penuntut sebuah kolej swasta, Nasarudin Alimudin, 23, pula berkata, dia bersama lima lagi rakannya berkonvoi motosikal dari Melaka.
“Kami bertolak pagi tadi dan berehat di kawasan rehat dan rawat (RnR) semata-mata untuk menjayakan piket ‘Kepung Demi Palestin’
“Negara tidak mengiktiraf Israel maka kita tidak perlu takut untuk keluar dan tunjukkan sokongan dan buktikan pada dunia yang kita tolak Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah,” katanya.
Sementara itu, Cynthia Erina, 45, dari Taman Kok Doh, di sini berkata, dia dan suami datang seawal jam enam petang bago menyatakan sokongan terhadap Palestin.
"Ini bukan soal agama tetapi kemanusiaan. Saya sedih baca berita mengenai penderitaan rakyat Palestin jadi enggan ketinggalan datang hari ini.
“Sokongan ini bertujuan menyatakan tentangan kepada AS yang bertindak membekalkan senjata,peluru serta kelengkapan untuk tentera Israel terus menyerang dan membunuh rakyat Gaza tidak berdosa,” katanya.
Pemimpin pelbagai parti politik juga dilihat turut serta dalam piket selama enam hari itu, termasuk Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan; Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi; dan bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang yang juga ahli jawatankuasa Sekretariat Solidariti Palestin.
Turut hadir pada acara kemuncak berkenaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Pertanian dan Keterjaminan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Piket secara aman yang diadakan sejak Selasa itu mencipta sejarah tersendiri apabila penganjur berjaya mendapatkan kebenaran pihak berkuasa untuk mendirikan khemah meskipun pada mulanya mereka tidak dibenarkan berbuat demikian.
Solidariti di hadapan kedutaan negara itu adalah sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza dan ia juga bagi menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan, serta mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.
Himpunan itu membabitkan 48 badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum.
Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) mengesahkan antara NGO yang mengambil bahagian ialah Majlis Perundingan Islam Malaysia, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Al Quds Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Malaysian Women's Coalition for Al-Quds and Palestine. - Sinar Harian
#bunga api #Palestin #ambang tahun baharu #tahun baharu 2024
;