Lupakan Kopi Luwak, kita ada kopi Sarawak
Astro Awani
April 8, 2019 10:41 MYT
April 8, 2019 10:41 MYT
Penggemar kopi mungkin boleh cuba kelazatan dan keharuman aroma kopi Sarawak.
Dengan permintaan yang semakin tinggi kerajaan Sarawak mahu jadi pengeluar kopi tempatan berkualiti tinggi menerusi program transformasi pertanian Sarawak.
Kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, tanah yang luas dan subur di Sarawak akan dimanfaatkan bagi tanaman berkenaan.
"Wawasan kami adalah untuk jadikan kopi sebagai antara tanaman utama di negeri ini.
"Kami sedang bekerjasama dengan syarikat utama tempatan dan kami juga sedang membuat kajian mengenai masa depan tanaman ini di Sarawak," jelas Uggah.
Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata petani tempatan akan dibantu meneroka strategi untuk meningkatkan pengeluaran biji kopi tempatan berkualiti untuk memenuhi permintaan pasaran.
Setakat ini terdapat kawasan seluas 200 ribu hektar di Sarawak untuk perladangan kopi.
Lebih banyak kawasan akan diusahakan termasuk di kawasan tanah tinggi.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri malis menandatangani memorandum persefahaman antara Jabatan Pertanian Sarawak dan Earthlings Coffee Workshop Sdn Bhd di Kuching.
Objektif MoU adalah untuk mempromosi dan meningkatkan kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat dalam pembangunan industri kopi.