Lumut... meriah ketika cuti, lengang pada hari biasa
Ridauddin Daud
November 3, 2022 19:47 MYT
November 3, 2022 19:47 MYT
LOKASI pelancongan, tak kiralah di mana, selalunya merupakan ‘lubuk’ rezeki buat penduduk setempat.
Ramai yang berniaga, ramai juga makan gaji, semuanya berusaha memanfaatkan segala peluang yang ada demi mencari sesuap nasi.
Namun, ada kalanya sinar yang diharapkan terang sentiasa menjadi sedikit malap, menghadirkan kesukaran buat mereka, seperti kisah peniaga di Lumut, Perak.
Kru Astro AWANI Ridauddin Daud dan jurukamera, Fahmey Azhar tiba di Lumut pada petang Isnin, selepas melalui hari yang sibuk di utara Perak, sempena dalam jadual liputan menjelang PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebaik sahaja masuk ke pekan Lumut, kami agak terkejut kerana suasananya tidak seperti dijangkakan - lengang dan banyak kedai ditutup.
Bersangka baik, kami anggap banyak kedai bercuti pada Isnin selepas sibuk melayan pelanggan pada hujung minggu.
Beberapa hari kemudiannya, sekali lagi kami melakukan tinjauan dan mendapati suasananya tetap sama…lengang!
Banyak kedai yang dibuka berbanding Isnin namun kebanyakan peniaga hanya melihat telefon pintar, berbual dengan rakan dan membersihkan kedai kerana tidak ramai pelanggan yang datang.
Beberapa peniaga ditemui memberitahu kawasan itu hanya ‘hidup’ pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum.
Hari lain, sunyi sahaja.
Dengan keadaan rakyat sekarang pun tak berapa boleh nak berbelanja kerana harga barang terlalu tinggi dan termasuklah dengan kami di Lumut memang agak terkesan.
“Perniagaan, kata orang suam-suam kuku. Kalau hari Sabtu, Ahad mungkin ada pengunjung sikit tapi hari Isnin sampai Khamis tu kategori parahlah,” kata peniaga makanan, Roslan Taib ketika ditemui Astro AWANI.
Situasi tersebut secara tidak langsung menghadirkan tekanan kepada mereka terutamanya apabila terpaksa berdepan masalah kos sara hidup yang semakin memburuk.
Sudahlah perniagaan terjejas, harga barang pula semakin meningkat malah mereka juga terpaksa ‘menelan’ aduan pelanggan yang merungut harga di kedai mereka semakin mahal.
“Teruk bang, nak maintain kos sara hidup ini memang susah sikitlah bang... tapi insya-Allah kita boleh bertahan lagilah.
“Dari segi kewangan, pelanggan…sini tempat pelancongan kan payah sikit nak dapatkan pelanggan,” kata peniaga hasil laut, Muhd Azhar Mohd Jeffrey.
Seorang lagi peniaga hasil laut, Mohd Najib Abdul Rahman mengakui tertekan dengan apa berlaku namun perlu sentiasa berfikiran positif bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
“Tertekan sebenarnya tapi kita kena positif untuk hadapi apa masalah yang datang. Kita tak boleh berharap dengan satu pekerjaaan, kita kena usaha lebih.
“Jadi terpulang kepada diri sendiri. Bagi saya, kalau saya terlampau negatif, saya tak boleh bergerak ke depan,” katanya.
“Sekarang pun ramai pelanggan kata makanan mahal tapi kita nak buat macam mana sebab kos harga barang pun tinggi. Jadi kita kena ikut harga baranglah.
“Kalau harga barang tinggi, makanan pun jadi mahal. Memang ada yang mengadu tapi nak buat macam mana, harga barang mahal jadi kita kena naikkan harga jugalah,” kata seorang lagi peniaga makanan, Muhammad Amirul Amin Azizan.
Perniagaan mereka mungkin ‘kencang’ pada hujung minggu namun pada waktu itu sajalah mereka tersenyum melihat pelanggan menderu-deru masuk.
Pada hari lain, banyak yang termenung sahaja.
Memandangkan perniagaan adalah mata pencarian utama, mereka berharap kerajaan boleh melakukan sesuatu untuk memastikan kawasan itu sentiasa ‘hidup’.