Lumpur paras buku lali sukarkan penduduk bersihkan rumah
Bernama
Disember 27, 2021 07:04 MYT
Disember 27, 2021 07:04 MYT
TEMERLOH: Lumpur setebal paras buku lali antara cabaran penduduk Kampung Batu Kapor, Mentakab, dalam membersihkan rumah selepas banjir besar yang menenggelamkan kampung itu sejak 19 Dis lepas surut sepenuhnya.
Tinjauan Bernama semalam mendapati penduduk kampung sibuk membersihkan rumah daripada kesan bencana itu dengan perabot dan barangan yang tidak boleh diselamatkan dilonggokkan di halaman rumah untuk dilupuskan.
Seorang penduduk, Mat Safie Salim, 54, berkata kepulangan mereka lima beranak ke rumah pada petang Ahad disambut dengan lumpur tebal dan debu selain barangan seperti tilam dan rak berselerakan di ruang tamu.
"Walaupun dah biasa dilanda banjir, tapi kali ini risau juga bagaimana hendak mencuci rumah disebabkan lumpur tebal separas buku lali. Nasib baik ada tujuh sukarelawan datang membantu mengeluarkan barang dan menolak lumpur, jadi kerja (pembersihan) hari ini ringan sikit.
"Kami sekeluarga masih tidur di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana keadaan rumah masih basah dan berbau. Kami belum berani untuk hidupkan barangan elektrik walaupun elektrik sudah ada. Lebih baik tunggu sehari dua, pastikan betul-betul kering dahulu," katanya yang ditemui di rumahnya semalam.
Mat Safie yang merupakan anak jati kampung itu berkata banjir kali ini lebih teruk daripada banjir pada awal tahun ini kerana pada masa itu paras air hanya mencecah siling rumah namun kali ini hampir menenggelamkan bumbung.
Beliau berkata rumah kakaknya yang terletak bersebelahan turut ditenggelami air manakala rumah dua tingkat emaknya yang terletak di hadapan pula dinaiki air melebihi paras tingkap tingkat atas.
Roswadi Ismail, 60, pula berkata dia dan adik-beradiknya sepakat mengumpul duit untuk membeli penyembur air bagi memudahkan kerja mencuci lumpur di rumah mereka.
Bercerita lanjut, beliau bersyukur kerana sempat menyelamatkan ibunya yang lumpuh selepas seorang adiknya menelefon memaklumkan banjir meningkat dengan pantas.
"Saya dan adik-beradik memindahkan barangan penting ke tingkat atas rumah selain mengeluarkan kerusi untuk diikat di garaj supaya tidak hanyut dibawa arus. Apabila paras air semakin tinggi, saya terus keluar memindahkan emak kerana jalan raya sudah semakin sesak disebabkan masing-masing cuba menyelamatkan kereta," katanya.
Sementara itu, Mohd Yunus Kirim, 75, berkata rumah dua tingkat yang dihuninya sejak lebih 50 tahun lepas rosak sepenuhnya apabila air naik mencecah paras bumbung.
Mengibaratkan kejadian itu antara terburuk sepanjang berhadapan situasi banjir sejak 1970-an, bapa kepada enam anak itu bagaimanapun bersyukur kerana terselamat dalam bencana itu.
"Air naik dengan mendadak selalunya sampai tingkat bawah tapi kali ni sampai bumbung. Saya cuma dapat mengalihkan kereta ke kawasan berbukit sebab air naik laju. Semua barangan rosak menyebabkan saya terpaksa berlindung di rumah anak buat sementara waktu," katanya.
Mohd Yunus berkata beliau sangat berterima kasih kepada pasukan sukarelawan yang datang membantu mencuci rumah termasuk rakan-rakan anaknya.
-- BERNAMA