Lumba-lumba mati di Pantai Serandu bukan akibat pukat nelayan
Bernama
April 22, 2020 21:26 MYT
April 22, 2020 21:26 MYT
Bangkai lumba-lumba yang ditemukan terdampar di Pantai Serandu, Pekan dekat sini semalam, dipercayai bukan mati akibat tersangkut pukat nelayan.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata punca kematian mamalia dipercayai spesies Indo-Pacific humpbacked dolphin (Sousa chinensis) itu bagaimanapun, tidak dapat dikenal pasti kerana keadaannya yang sudah mereput.
"Keadaan itu juga menyebabkan kami tidak dapat memastikan jantina lumba-lumba yang berukuran 244 sentimeter dengan anggaran berat 170 hingga 200 kilogram tersebut.
"Kami menjangkakan ia telah mati untuk tempoh kurang daripada seminggu, namun tidak diketahui sama ada mati di laut atau darat," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Abdullah berkata penemuan lumba-lumba itu diketahui menerusi laman Facebook dan kakitangan jabatan di Pekan telah membuat siasatan sebelum menanam bangkainya di pantai tersebut.
-- BERNAMA