Lumba haram: Polis minta orang ramai tularkan kereta, motosikal diubah suai

Adie Sufian Zulkefli
September 24, 2024 14:00 MYT
Fisol (tiga, kanan) melihat barang yang yang dilupuskan di IPD Kuala Muda di sini, pada Selasa. - Gambar/ Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Polis Kedah meminta bantuan orang awam mengambil gambar kenderaan yang diubah suai dan menularkannya di media sosial sebagai salah satu usaha mengekang kes lumba haram dan 'mat rempit' atau samseng jalanan.

Ringkasan AI
  • Polis Kedah menggesa orang awam untuk mengambil gambar kenderaan yang diubah suai secara haram dan menularkannya di media sosial sebagai langkah untuk membanteras lumba haram dan samseng jalanan.
  • Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, menyatakan bahawa kerjasama orang awam penting untuk mengesan kenderaan berbahaya yang membahayakan penunggang dan pengguna jalan raya lain, dengan pihak polis akan mengesan pemilik kenderaan hingga ke rumah.
  • Sebanyak 330 barang rampasan seperti ekzos dan karburator telah dilupuskan berdasarkan undang-undang, manakala pelupusan barangan narkotik bernilai RM2.9 juta akan dilakukan esok di Negeri Sembilan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata isu lumba haram dan samseng jalanan sudah lama berlaku dan ia memerlukan penglibatan semua pihak untuk menanganinya.
"Saya minta warga Kedah, sila ambil gambar jika ternampak kenderaan sama ada kereta atau motosikal, malah basikal juga... jika motosikal diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi, tayar sotong, brek dibuang, karburator dinaik taraf untuk merempit, ambil gambar... tularkan.
"Jika kenderaan ini berada di jalan raya... ambil gambar, polis akan mengesan mereka sehingga ke rumah," katanya pada Sidang Media Pelupusan Barangan Narkotik dan Kes Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, pada Selasa.
Tambahnya, arahan penguatkuasaan telah dikeluarkan di semua IPD di negeri ini khususnya bahagian trafik dan jabatan lain yang berkenaan.
"Kita nak tangani itu ini bersama... tak mahu ada kereta atau motosikal terutamanya yang diubah suai kerana ia bukan hanya membahayakan nyawa penunggang, malah orang awam.
"Kita harap dengan kerjasama semua pihak, orang awam dan pihak berkuasa, semua ini dapat ditangani bersama," katanya.
Sementara itu, Fisol berkata sebanyak 330 barang rampasan termasuk 242 ekzos, 77 'swing arm' dan lima karburator yang disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan, dilupuskan hari ini berdasarkan arahan pelupusan di bawah Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah.
"Keseluruhan bahan rampasan pada tahun ini berjumlah 1,412 barang, namun pada 11 Julai lalu, sebanyak 302 barang telah dilupuskan selepas mahkamah menjatuhkan hukuman dan mengeluarkan arahan pelupusan.
"Bagi kes narkotik pula, sejumlah RM2.9 juta nilai keseluruhan pelbagai jenis dadah, membabitkan 2,826 kertas siasatan... pelupusan akan dibuat esok oleh sebuah syarikat lantikan kerajaan di Negeri Sembilan," katanya.
Katanya lagi, pelupusan barangan rampasan bagi kes trafik dan narkotik ini merupakan kes bagi tahun 2013 sehingga tahun 2022.
#lumba haram #samseng jalanan #Polis Kedah #tular gambar
;