Lumba haram: Penunggang maut kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan
Abd Razak Mohd Ali
Januari 15, 2023 13:17 MYT
Januari 15, 2023 13:17 MYT
BAGAN SERAI: Seorang penunggang maut selepas motosikalnya terlibat dalam kemalangan bersama lima motosikal lain di Kilometer 187.7 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, dekat Bagan Serai, awal pagi ini.
Mangsa, seorang lelaki berusia 20 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataannya berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 1.50 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati keenam-enam motosikal jenis Yamaha Y15ZR itu dari arah Plaza Tol Alor Pongsu menghala ke Bukit Merah, dipercayai terlibat dalam perlumbaan haram.
Katanya, dalam kemalangan itu, lima orang penunggang yang lain mengalami pelbagai kecederaan dan telah dirujuk ke Hospital Taiping serta Hospital Parit Buntar untuk menerima rawatan.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Yusri meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Kerian, Inspektor Mohd Khairul Hanafi Hanafi di talian 05-7210539 / 013-6200564.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalanraya, khususnya golongan remaja agar tidak terlibat dalam perlumbaan haram.
Tambahnya, mereka boleh disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.
Menurutnya, mereka juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.