Luluskan RUU GEG segera: Lindungi remaja dan kanak-kanak dari ketagihan vape

Kenyataan Media
Oktober 10, 2023 00:00 MYT
Sebarang tindakan melengahkan atau menangguhkan RUU ini akan membawa remaja kita selangkah ke arah kemudaratan yang nyata.
KUALA LUMPUR : Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA) memandang serius isu penggunaan vape dan rokok elektronik dalam kalangan remaja dan kanak-kanak. Marcapada ini, remaja dan kanak-kanak semakin terjerumus ke kancah penggunaan vape yang diuar-uarkan oleh golongan tertentu sebagai sumber ekonomi baru untuk negara di samping boleh digunakan sebagai kaedah berhenti merokok.
2. Namun, sebenarnya tiada kajian kukuh terhadap penggunaan vape sebagai terapi berhenti merokok dan kos ekonomi yang dibawa oleh penyakit berkaitan dengan vape seperti EVALI adalah lebih tinggi dari potensi keuntungan yang dibawa industri ini. Selain itu, negara yang telah meringankan peraturan penggunaan vape seperti England dan New Zealand telah menghadapi peningkatan dalam golongan remaja dan kanak-kanak yang terjebak dengan ketagihan ini. Ini merisaukan pakar-pakar kesihatan terutamanya pakar pediatrik dan pakar perubatan keluarga di sana.
3. Kajian tinjauan kesihatan remaja 2022 (Adolescent Health Survey 2022) telah menunjukkan berlakunya perubahan pola penggunaan rokok dalam kalangan remaja di mana berlakunya penurunan penggunaan rokok konvensional tetapi penggunaan vape pula semakin meningkat. Lebih merisaukan, 6% daripada remaja yang menggunakan vape adalah dalam kalangan remaja perempuan berbanding hanya 1% bagi penggunaan rokok konvensional. Ini membuktikan penerimaan vape lebih tinggi dalam kalangan remaja, sesuai dengan bukti-bukti kajian global yang membuktikan remaja menggunakan vape kerana sifat ingin tahu, sebagai gaya hidup dan perasa yang menarik minat mereka.
4. Tambahan pula, sejak pengeluaran cecair nikotin daripada Akta Racun pada 1 April 2023, penjualan nikotin tidak dikawal selia oleh mana-mana undang-undang di Malaysia. Ini membuka ruang kepada penjualan tidak terkawal kepada remaja dan kanak-kanak bawah umur. Ini sokong oleh dapatan tinjauan Pusat Racun Negara yang mendapati produk vape dijual sebaris dengan gula-gula dan alat tulis di kedai-kedai runcit.
5. Pakar Perubatan Keluarga di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin dan Pakar Perubatan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Megat Mohammad Amirul Amzar Megat Hashim, bersama pakar-pakar perubatan di Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Universiti Malaya yang lain telah giat menjalankan aktiviti advokasi pencegahan dan berhenti merokok/vape sejak tahun 2015. Mereka menyuarakan kebimbangan dengan trend vaping dalam kalangan remaja dan kanak-kanak ini. Dalam pengalaman mereka menyantuni remaja sekolah sekitar usia 13-16 tahun, terdapat pola penggunaan vape yang merisaukan. Ini termasuk lah aktiviti mencampurkan vape dengan cecair yang mengkhayalkan seperti psilocybin (dikenali sebagai mushroom flavour oleh remaja) dan juga meletakkan tar di dalam cecair e-liquid. Pola ini amat merisaukan kerana campuran dadah halusinogen bukan sahaja memberikan risiko kesihatan yang serius seperti keracunan akut dan ketagihan, malah ia boleh meningkatkan risiko masalah sosial seperti kes rogol di bawah pengaruh dadah yang berlaku di Sabah pada bulan Mei 2023.
6. Selain daripada itu, peranti vape yang menggunakan bateri lithium ion berisiko meletup dan menyebabkan kecederaan serius serta meningkatkan risiko kebakaran. Kajian juga menunjukkan kandungan bahan kimia seperti propylene glycol, vegetable glycerine dan juga perasa di dalam vape berpotensi merosakkan paru-paru dan salur pernafasan. Ini disokong lagi oleh pengalaman yang dikongsikan Profesor Dr Amani dan Dr Amirul di mana terdapat beberapa pelajar yang mengalami pemerosotan dari kebolehan melakukan aktiviti fizikal selepas terjebak dengan penggunaan vape. Remaja yang mula menggunakan vape seawal usia 12 tahun dengan mencuba vape yang ditinggalkan oleh ayahnya itu tidak lagi berupaya menyertai aktiviti fizikal seperti bermain bola sepak, sebaliknya hanya berada di tepi padang sahaja sewaktu slot pendidikan jasmani dan kesihatan. Kini, beliau sedang dibantu oleh pakar perubatan keluarga secara kaunseling berkala untuk berhenti menggunakan vape.
7. Seorang remaja berumur 15 tahun, dengan mudah dapat membeli vape tanpa diperiksa kad pengenalannya. Dia mengaku memasukkan tar jalan raya yang ditumbuk halus kedalam cecair e-jus bagi menaikkan rasa “mabuk” apabila menggunakan vape. Seorang lagi remaja lain berusia 13 tahun baru-baru ini telah dibuang dari sekolah kerana telah ditangkap menggunakan vape berkali-kali oleh guru sekolahnya. Sebagai orang dewasa, kita tidak sewajarnya menyalahkan remaja ini kerana mereka telah terjebak dengan ketagihan akibat kelompongan undang-undang kawalan produk merokok di negara kita.
8. Oleh yang demikian, kami, Pakar-Pakar Perubatan Keluarga daripada Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA) menggesa kerajaan meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang sepatutnya dibentangkan untuk bacaan kedua pada sesi parlimen bulan Oktober 2023 ini. Sebarang tindakan melengahkan atau menangguhkan RUU ini akan membawa remaja kita selangkah ke arah kemudaratan yang nyata. Kami dengan tegas mencela tindakan mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan isu ini dan berselindung di sebalik kuasa legislatif yang dimandatkan kepada mereka.
DR NOR HAZLIN TALIB
Presiden Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Malaysia (FMSA)
#vape #remaja #kesihatan #Kanak-kanak #RUU #GEG
;