Luluskan moratorium menyeluruh segera - Pejuang
Kenyataan Media
Jun 23, 2021 19:28 MYT
Jun 23, 2021 19:28 MYT
BERIKUT adalah kenyataan media bersama Setiausaha Agung dan Ketua Biro Ekonomi Pusat Pejuang:
Pejuang menggesa kerajaan untuk meluluskan kemudahan moratorium menyeluruh dan moratorium sewa dengan segera.
1. Moratorium menyeluruh mesti diluluskan dengan segera dan dilanjutkan sehingga imuniti berkelompok dicapai sebelum lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup, lebih ramai rakyat dibangkrapkan dan dalam situasi terdesak, ramai yang membunuh diri.
2. Ramai rakyat dan perniagaan dinafikan Moratorium bersasar kerana mereka perlu memohon dengan menyediakan berbagai maklumat, dokumen dan bukti.
3. Kami memandang serius kenyataan Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin melaporkan Majoriti peniaga-peniaga sektor peruncitan di negara ini terutama peniaga Melayu sudah ‘hampir mati’ selepas kerajaan melaksanakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0
4. Kami mengambil maklum dan menyokong penuh permintaan Gabungan 140 NGO-NGO, Dewan-Dewan Perniagaan supaya Moratorium ini ditawarkan secara automatic untuk semua fasiliti bank (individu dan syarikat termasuk kad kredit, overdraf, pinjaman kereta, pinjaman rumah dan lain-lain), fasiliti Kredit dan ‘Leasing’ atau pajakan.
5. Kami amat risau situasi kritikal peniaga-peniaga mikro, industri kecil dan sederhana yang ‘sudah nak mati’ dan berpendapat bantuan ‘Moratorium menyeluruh’ ialah bantuan yang sangat diperlukan pada saat ini.
6. Kami amat faham tekanan emosi yang dialami oleh seorang wanita yang kehilangan pekerjaan, dihalau keluar dari rumah yang disewa dan cuba untuk membunuh diri dan percaya ramai yang berada didalam situasi seperti wanita tersebut. Kami bimbang cubaan membunuh diri akan lebih berleluasa.
7. Dalam 5 bulan pertama tahun ini, 53 kes bunuh diri dilaporkan di Pulau Pinang manakala jumlah kes bunuh diri di seluruh Malaysia meningkat lebih 20% dan punca utama merupakan beban hutang.
8. Kami juga menerima banyak laporan melalui sesi lapangan kami bersama rakyat bagaimana susahnya usahawan dan peniaga untuk memohon moratorium dari Bank. Butir-butir, maklumat dan dokumen yang diminta oleh Bank menyukarkan keadaan. Pemohon sudah parah dan di himpit lagi dengan berbagai permintaan oleh Bank.
9. Rakyat yang sedang susah tidak patut dibebankan lagi dengan proses-proses untuk memohon moratorium pinjaman. Moratorium pinjaman boleh ditawarkan oleh institusi Bank tanpa bajet tambahan dari kerajaan.
10. Malah semua Bank merekodkan pertumbuhan keuntungan semasa pandemik dan ini membuktikan prestasi Bank tidak terjejas berbanding situasi kebanyakan individu dan perniagaan yang sudah hampir muflis.
11. Selain dari bantuan moratorium pinjaman, kami juga menggesa kerajaan untuk menyalurkan bantuan Moratorium Sewa seperti yang diluluskan di United Kingdom sehingga bulan Mac 2022, memberi pengurangan bayaran utiliti dan pilihan untuk rakyat mengeluarkan wang simpanan KWSP.
12. Kerajaan juga telah membelanjakan wang simpanan negara KWAP diatas rasional keperluan. Dalam keadaan terdesak, rakyat juga patut diberi pilihan.
13. Perbelanjaan tertinggi untuk setiap isirumah ialah perbelanjaan untuk membayar pinjaman (Samada pinjaman kereta, kad kredit atau pinjaman rumah) dan pembayaran sewa. Kedua-dua perbelanjaan ini menelan lebih setengah dari pendapatan isi rumah.
14. Bayangkan beban perbelanjaan isirumah tanpa pekerjaan tetap atau apabila perniagaan tidak beroperasi.
15. Moratorium menyeluruh untuk semua pinjaman dan Moratorium sewa dapat membantu rakyat bernafas lega dalam melalui krisis terbesar dunia.
Kenyataan oleh:
Datuk Amiruddin Hamzah
Setiausaha Agung (Penaja) Parti PEJUANG Tanahair,
Ahli Parlimen Kubang Pasu
Mantan Timbalan Menteri Kewangan
Armin Baniaz Pahamin
Ketua Biro Ekonomi Pusat (Penaja)
Parti PEJUANG Tanahair