Lulusan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK rekod kebolehpasaran 100 peratus

Bernama
Julai 24, 2024 22:45 MYT
Raja Iskandar (empat, kanan) bergambar ramai selepas majlis perasmian Program Karya Eksposisi Tahun Akhir Seni Inovasi 2024 di Dewan Tuanku Canselor, UMK, Bachok, semalam. --fotoBERNAMA
BACHOK: Lulusan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merekodkan kadar kebolehpasaran mencecah 100 peratus hampir setiap tahun, kata Dekan fakulti berkenaan Prof Madya Dr Raja Iskandar Raja Halid.
Beliau berkata FTKW merekodkan lebih 5,000 siswazah dan daripada jumlah itu, ada dalam kalangan mereka yang mendapat pengiktirafan enam bintang oleh Indeks Kebolehpasaran Graduan Nasional (Indeks GE) selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2021 dan 2022.
"Fakulti berkenaan mempunyai permintaan pasaran yang tinggi terutama dalam industri berkaitan ... kebolehpasaran lulusan fakulti ini boleh dikatakan 100 peratus sekali gus melebihi apa yang diperlukan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Program Karya Eksposisi Tahun Akhir Seni Inovasi (KREASI) 2024 di UMK Kampus Bachok di sini semalam.
Raja Iskandar berkata beliau berhasrat agar lepasan fakulti itu mampu menempa nama dalam industri bukan sahaja di peringkat tempatan, bahkan juga peringkat antarabangsa supaya hasil karya dan produk yang dihasilkan mereka dapat diketengahkan di luar negara.
-- BERNAMA
#Universiti Malaysia Kelantan #Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan #kebolehpasaran graduan #Raja Iskandar Raja Halid