Lulus peruntukan besar dalam Bajet 2024 bantu industri gig

Faida Rahim
Julai 17, 2023 20:04 MYT
Zulhelmi menyarankan agar Kerajaan terutama Kementerian Sumber Manusia meningkatkan perlindungan sosial untuk pekerja GIG di negara ini. - LinkedIn Zulhelmi Mansor
KUALA LUMPUR: Satu peruntukan besar perlu diluluskan dalam pembentangan Bajet 2024 untuk memperkasa soal kebajikan penggiat ekonomi gig di negara ini.
Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia Zulhelmi Mansor memaklumkan, penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dijangka dapat menyelesaikan isu gaji penghantar, serta peta digital di dalam aplikasi.
“Antaranya masalah jarak dalam aplikasi tidak sama dengan jarak sebenar. Contoh jarak dalam aplikasi 1.5km tapi jarak sebenar dalam Google Map atau Waze lebih daripada itu dan ini merugikan kita.
“Bila mana tiada garis panduan yang jelas, disebabkan perundangan yang lemah, jadi tak ada kawal selia yang khusus.
"Peranan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia ini sudah semestinya kita nak lihat menstruktur dan kawal selia rantaian ekosistem gig ini secara keseluruhan," katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi pada Isnin.
Tambahnya, antara lima elemen utama keperluan penubuhan SEGiM adalah untuk melihat regulasi lebih adil, perlindungan kebajikan pekerja gig, peningkatan kemahiran dan pendidikan, pengumpulan data dan pembangunan inovasi serta pemangkinan pertumbuhan.
Sementara itu, Zulhelmi menyarankan agar kerajaan terutama Kementerian Sumber Manusia meningkatkan perlindungan sosial untuk pekerja gig di negara ini.
"Syarikat juga perlu ada tanggungjawab mereka kerana mereka ada hak untuk mengaktifkan semula (reactivate) ID rakan-rakan penghantar.
“Maksudnya di sini kalau dia tak mencarum maksudnya dia tak boleh lagi jadi rider. Kalau dah tamat tempoh, dia kena renew dulu baru boleh jadi rider.
“Bukan kita kejam, tapi sebab kita sayang. Kita tak nak kalau jadi kemalangan atau lebih menyayat hati sebabkan kematian. Kalau dia tak mencarum, memang sedih," katanya.
#Kementerian Sumber Manusia #GiG Malaysia #penghantar makanan #Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia
;