Lulus jadi warganegara Malaysia, hadiah ulang tahun terindah Roisah
Sahlizah Mohamed
Mac 28, 2019 14:40 MYT
Mac 28, 2019 14:40 MYT
Seorang pelajar menyifatkan kelulusan permohonan kewarganegaraan sempena sambutan ulang tahun ke-22 pada bulan depan merupakan anugerah yang tidak ternilai.
Roisah Abbdullah berkata, keputusan yang diterima pada Oktober tahun lalu itu merupakan permohonan kali kedua selepas gagal pada tahun 2013.
“Saya tidak memiliki sebarang dokumen sejak dilahirkan sehingga pada tahun 2013 saya memohon untuk sijil kelahiran lahir lewat dari Jabatan Pendaftaran Negara.
“Kemudian saya mengambil surat sumpah anak angkat dan tahun 2013 itu baru diluluskan semuanya,” katanya pada Khamis.
Roisah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas permohonannya untuk menjadi warganegara Malaysia sejak tahun 2013 diluluskan Kementerian Dalam Negeri.
Pelajar itu yang kini sedang mengikuti pengajian dalam jurusan perakaunan di Universiti Tunku Abdul Razak merupakan anak angkat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Disebabkan kegagalannya pada tahun 2013, Roisah yang berasal dari Klang berdepan banyak kekangan untuk sepanjang bergelar pelajar sekolah rendah dan menengah di Klang.
“Saya tidak boleh membuka akaun bank. Jika saya sakit, saya hanya boleh pergi ke klinik swasta dan kosnya lebih tinggi.
“Kini bila semuanya telah selesai, saya mahu membuka akaun bank, mengambil lesen memandu dan mendaftar kad Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT),” katanya.
Roisah merupakan pelajar pintar dengan keputusan 4 A 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 9A (Penilaian Menengah Rendah), 7A, 1B dan 1C (Sijil Pelajaran Malaysia dan 3A dan 1B dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.
Dalam pada itu, Zuraida ketika ditemui melahirkan rasa syukur selepas permohonan anak angkatnya itu selesai.
“Dia kini boleh menjalani kehidupan dengan kedudukan sebagai warganegara yang lain. Dapat sambung belajar dan hidup sebagai individu yang berhak dalam segalanya.
“Dia merupakan warganegara Malaysia yang dinafikan haknya sebelum ini. Dalam usaha untuk membantunya, saya menjadi ibu angkatnya. Mungkin selepas ini dia boleh memasuki universiti awam dan menikmati banyak kelebihan lain,” katanya.
#anak
#bank
#Jabatan Pendaftaran Negara
#Kementerian Dalam Negeri
#kerajaan
#Klang
#Malaysia
#Media
#menteri
#pelajar
#sekolah
#Sijil Pelajaran Malaysia