Lulus 200,000 pekerja Bangladesh? Itu fakta tidak benar - Saravanan
Hasimi Muhamad
Julai 19, 2022 11:30 MYT
Julai 19, 2022 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menafikan dakwaan beliau meluluskan pengambilan seramai 200,000 pekerja asing dari Bangladesh ke negara ini.
Sebaliknya tegas beliau, kelulusan yang diberikan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi kontrak pengambilan pekerja asing berdasarkan kepada sektor pekerjaan yang dibenarkan, dan bukan berdasarkan kewarganegaraan.
"Permohonan pekerja asing yang dibuat oleh majikan tidak berdasarkan kepada kewarganegaraan pekerja tetapi permohonan adalah berdasarkan kepada pekerja asing daripada 15 negara sumber.
"Kelulusan yang diberikan oleh kementerian untuk kuota pekerja asing adalah berdasarkan kepada sektor pekerjaan yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing. Kelulusan kuota tidak berdasarkan kepada kewarganegaraan pekerja asing.
"Selepas majikan mendapat kelulusan kuota pekerja asing daripada KSM dan setelah membuat pembayaran levi pekerja asing di Jabatan Imigresen Malaysia maka majikan boleh menentukan pekerja asing dari negara sumber yang ingin mereka gajikan. Justeru itu, maklumat mengenai saya meluluskan 200,000 pekerja asing dari Bangladesh adalah merupakan fakta yang tidak benar," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Saravanan menjawab pertanyaan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) menyatakan apakah rasional kementerian memproses 200,000 permohonan pekerja dari Bangladesh untuk dibawa masuk ke negara ini.