Luluh hati mangsa ribut, rumah pula musnah terbakar
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 10, 2019 15:36 MYT
Ogos 10, 2019 15:36 MYT
Luluh hati pasangan warga emas dari Kampung Dodol, George Town sebaik melihat keadaan rumah mereka yang musnah dijilat api dalam kebakaran susulan kejadian ribut di Pulau Pinang malam tadi.
Rumah milik Hasnah Ahmad, 63, terbakar hampir 80 peratus memusnahkan semua persiapan Hari Raya Aidiladha yang sudah dibuatnya.
Menurut Hasnah, ketika kejadian dia bersama suami Abdul Aziz Mohd Ariff, 65, berada di rumah anak mereka berikutan rumah mereka rosak dipukul ribut.
Hasnah berkata, dia mulanya menyangka rumahnya hanya rosak dipukul ribut, namun terkejut apabila dimaklumkan rumah separuh kayu dan batunya itu turut terbakar dipercayai akibat litar pintas.
Lebih memilukan persiapan tempahan untuk membuat ketupat juga musnah, namun Hasnah redha dengan kejadian itu.
"Memang sudah buat persiapan raya dah beli daging dah semua beli dalam peti ais semua dah cukup dah, makcik ambil tempahan ketupat semua dah siap.
"Santan pulut semua sudah beli tetapi hendak buat macam mana kita yang merancang tuhan yg menentukan," kata Hasnah ketika ditemui di lokasi kebakaran di sini hari ini.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pulau Pinang, memaklumkan, kejadian kebakaran itu berlaku sekitar jam 3 pagi Sabtu.
Pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 3.10 pagi dan sebaik tiba api sedang marak memusnahkan hampir 80 peratus ruang atas rumah tersebut.
Anggota dari Balai Bomba Jalan Perak dan Balai Bomba Lebuh Pantai berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 3.28 pagi.
Punca kejadian kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan forensik bomba.