Luluh hati ibu ketika tatap wajah anak yang maut dalam kemalangan lori simen di Lojing

Bernama
Mei 15, 2024 06:30 MYT
Rohani (dua, kanan) ditemani beberapa ahli keluarga selepas membuat proses pengecaman mayat anaknya, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gua Musang, 15 Mei 2024. -- fotoBERNAMA
GUA MUSANG: Luluh hati seorang wanita Orang Asli suku Semai apabila menatap wajah anaknya semasa membuat proses pengecaman di Unit Forensik, Hospital Gua Musang, di sini, susulan kemalangan tiga maut melibatkan sebuah lori simen terbabas ke dalam gaung di Jalan Gua Musang-Lojing, semalam.
Rohani Adi, 50, berkata, dia tidak menyangka anak keduanya Fauzi Ramli, 28, merupakan seorang daripada tiga mangsa yang maut dalam insiden itu.
Menurutnya, dia terkejut apabila mendapat perkhabaran tentang tragedi itu selepas dimaklumkan anak sulungnya yang turut membantu mencari mangsa selepas lori yang dinaiki terjatuh ke dalam gaung.
"Saya tidak dapat menahan perasaan apabila melihat keadaan anak ketika dipanggil untuk proses pengecaman. Rasa sebak dan tidak percaya kerana dia keluar bekerja seperti biasa.
"Kali terakhir kami berjumpa kira-kira 8 pagi tadi selepas dia minum kopi yang disediakan saya sebelum pergi kerja," katanya kepada Bernama semalam.
Sementara itu, Norhayati Baseh, 42, yang merupakan isteri kepada pemandu lori yang terlibat di dalam kemalangan itu pula berkata, dia tidak menyangka sikap gembira suaminya David Harun, 42, yang mencium serta memeluk anak bongsu mereka merupakan kali yang terakhir sebelum maut dalam insiden berkenaan.
Menurutnya, David memiliki lesen memandu lori dan berpengalaman kira-kira tujuh tahun mengendalikan lori simen.
"Pada 7.30 pagi tadi suami memeluk dan mencium anak bongsu kami sebelum keluar bekerja.
"Saya hanya mengetahui suami terlibat dalam kemalangan menaiki lori bersama dua rakan baiknya selepas diberitahu seorang rakan," katanya. - BERNAMA
#lori simen #Jalan Gua Musang-Lojing #Orang Asli #lori terbabas dalam gaung
;