Lukisan Dewan Rakyat dipenuhi 'monyet, babun, katak' jadi pilihan Sultan Selangor
Astro Awani
April 12, 2022 14:49 MYT
April 12, 2022 14:49 MYT
KUALA LUMPUR : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini berkenan membeli sebuah karya seni lukisan selepas ia menarik perhatian Baginda.
Selangor Royal Office dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan, Sultan Sharafuddin berhasrat menggantung lukisan tersebut di bilik bacaan peribadi baginda.
"Satu hari nanti, baginda berhasrat untuk melelong lukisan ini dan hasil lelongannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan," demikian menurut hantaran tersebut hari ini.
Berdasarkan beberapa keping gambar yang dimuat naik, karya seni yang dilihat mempunyai makna tersirat itu seolah-olah menggambarkan situasi di dalam Dewan Rakyat Malaysia.
Sultan Sharafuddin turut kelihatan merenung lakaran karya tersebut, yang antaranya memaparkan individu yang dipercayai memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat
Selain itu, turut mencuri tumpuan pada lakaran seni itu ialah imej mirip orang hutan, monyet, babun serta katak yang berada di kedudukan kiri dan kanan Dewan Rakyat.
Binatang-binatang yang dizahirkan menunjukkan beberapa reaksi seperti ketawa, mengantuk serta 'kelesuan'.
Sementara itu, semakan Astro AWANI di laman sosial mendapati pelbagai reaksi diberikan oleh warganet terhadap lukisan tersebut.
Segelintir mereka berpandangan lukisan tersebut membawa maksud yang mendalam, selain menggambarkan perwatakan wakil-wakil rakyat.
"Daulat Tuanku, sangat dalam maksud lukisan ini. Pelukis yang hebat," tulis pengguna Facebook Jamie Long.
Pengguna Facebook Azizi Seman menambah: "Tuanku yang betul-betul memahami maksud lukisan tersebut. Ampun Tuanku."
Sementara itu, pengguna Facebook Pakanasa FC berkata, "tersurat sangat makna gambar ini. Harapnya Tuanku juga dapat melihat dan tegur pemimpin politik seperti gambar yang Tuanku beli tu..."
Bagaimanapun, setakat ini tiada penjelasan tentang pelukisnya mahupun perincian maksud di sebalik penghasilan karya tersebut.
#Dewan Rakyat
#lukisan Dewan Rakyat
#Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
#FB Selangor Royal Office