Luka tikaman di dada punca kematian pelayan restoran

Bernama
Mei 26, 2023 23:14 MYT
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Agus Salim Mohd Alias menunjukan imbasan ultrabunyi yang dipercayai milik mangsa dalam kejadian kes bunuh dan bakar seorang wanita berusia 21 tahun pada sidang media di IPD Sabak Bernam. - BERNAMA
SHAH ALAM: Punca kematian pelayan restoran yang dibunuh kejam sekitar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar, Isnin lepas adalah dari luka tikaman pada bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Agus Salim Mohd Alias berkata punca itu dikenal pasti setelah selesai proses bedah siasat terhadap mangsa.
Jelasnya lagi, jenazah mangsa juga telah dituntut oleh keluarga dan dijangka dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Kampung Nelayan, Sungai Besar.
Dalam pada itu, Agus Salim berkata keperluan tambahan tempoh reman akan dilakukan pihak sekiranya memerlukan siasatan lanjutan berhubung kes tersebut.
Katanya, mahkamah sebelum ini meluluskan reman pertama selama enam hari bermula Rabu hingga 29 Mei depan.
Media sebelum ini melaporkan, perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan luar nikah dipercayai punca seorang wanita 21 tahun dibunuh kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau, di sini Isnin lepas.
Agus Salim berkata suspek berusia 20 tahun yang merupakan bekas penuntut kolej itu telah membawa mangsa menaiki kereta seterusnya bertengkar dengan wanita tersebut sebelum dipukul di kepala lantas dibunuh di lokasi berkenaan sekitar 10 malam, 22 Mei lalu.
-- BERNAMA
#luka tikaman #pelayan restoran #kes bunuh #Jalan Sungai Limau
;