Lucut jawatan pemimpin kampung yang salah guna kuasa

Bernama
Mei 12, 2019 17:02 MYT
JAUJAN: Amalan pilih bulu, mementingkan ikatan kekeluargaan dalam menyalurkan segala bentuk bantuan perlu dielak. - Gambar fail
Pemimpin peringkat kampung boleh dilucutkan jawatan jika didapati mereka menyalahgunakan kuasa dan terlibat isu negatif termasuk rasuah, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong.
Katanya, pemimpin akar umbi ini yang terdiri daripada Ketua Kampung, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) termasuk Ketua Anak Negeri (KAN) perlu sentiasa menjalan tanggungjawab dengan penuh amanah.
"Peranan pemimpin akar umbi ini penting sebab membantu kerajaan mengetahui masalah rakyat sekali gus mencari penyelesaian, jangan jadi macam sesetengah pemimpin akar umbi sebelum ini yang banyak masalah rakyat tidak diketahui.
Pemimpin akar umbi yang dilantik perlu tahu peranan dan tanggungjawab terhadap kampung masing-masing, pastikan juga kebersihan kampung dan tahu apa yang diperlukan oleh kampung," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Semporna di sini, hari ini.
Jaujan berkata amalan pilih bulu, mementingkan ikatan kekeluargaan dalam menyalurkan segala bentuk bantuan perlu dielak sebaliknya bersikap adil dan mendengar segala permasalahan diutarakan penduduk untuk penyelesaian.
Terdahulu dari itu beliau berkata pemimpin akar umbi yang dilantik juga perlu memain peranan mempertingkat keupayaan dan pencapaian pembangunan di setiap mukim dan kampung masing-masing.
"Tak ada jalan singkat untuk mempertingkat pencapaian dan keupayaan melainkan kerja keras dan usaha berterusan, jangan kita sebagai pemimpin ketinggalan dalam apa sahaja urusan di mukim atau kampung kita.
"Kita perlu bangun awal dan bersiap lebih awal kerana pemimpin peringkat atasan pun hanya tidur dalam satu ke dua jam untuk berkhidmat kepada rakyat"
Pada majlis itu Jaujan menyampaikan watikah perlantikan kepada Ketua Kampung, MPKK, KAN bagi tiga Dewan Undangan Negeri Sulabayan, Senallang, dan Bugaya.
--BERNAMA
#jaujan sambakong #ketua anak negeri #komuniti kampung #MPKK #pemimpin akar umbi #pemimpin kampung #Timbalan Ketua Menteri Sabah
;