Lubuk Timah Hot Spring bakal jadi pusat pelancongan kelas pertama - Nazri Aziz
Bernama
April 4, 2016 08:35 MYT
April 4, 2016 08:35 MYT
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan menaik taraf beberapa prasarana di pusat rekreasi Lubuk Timah Hot Spring di Simpang Pulai yang sekali gus akan menjadikannya sebagai pusat pelancongan kelas pertama, kata Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Beliau berkata pihaknya akan menaik taraf antaranya jalan masuk ke pusat rekreasi itu sejauh 900 meter, bekalan elektrik dan menambah bilangan chalet.
"Pusat rekreasi air terjun ini cukup baik untuk bermalam manakala pada waktu siang, pengunjung boleh menikmati alam semula jadi seperti air terjun. Setakat ini pusat rekreasi ini mempunyai tujuh chalet.
"Jalan masuk ke pusat ini masih belum ditar dan apabila hujan jalan akan lecak, manakala musim panas jalannya akan berdebu," katanya kepada pemberita semasa membuat lawatan kerja ke pusat rekreasi itu pada Ahad.
Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan kementerian lain untuk melaksana kerja menaik taraf pusat pelancongan itu dan ia dijangka siap sebelum Tahun Melawat Perak 2017.
Mohamed Nazri berkata beliau juga akan memaklumkan kepada Tourism Perak untuk mempromosi Lubuk Timah Hot Spring sebagai pusat pelancongan yang wajib dikunjungi.
"Lokasi pusat rekreasi ini adalah strategik kerana ia melalui jalan menuju Cameron Highlands. Sekiranya pengunjung mahu ke Cameron Higlands, mereka boleh singgah ke Lubuk Timah Hotspring," katanya.
Sementara itu Pengurus Projek Lubuk Timah Hot Spring, Fadzil Akhma Mohd Yusoff berkata pusat rekreasi yang dilengkapi dengan kemudahan itu sedia menerima kunjungan orang ramai dengan bayaran RM3 bagi dewasa dan RM1.50 bagi kanak-kanak.
"Lubuk Timah yang berkeluasan 4.046 hektar menjadi pusat rekreasi keluarga untuk merehatkan badan kerana memiliki keunikan air terjun dan kolam air panas," katanya.