Lubuk scam: Usah ghairah dengan tawaran kerja gaji lumayan - Mangsa
Astro Awani
November 19, 2023 12:30 MYT
November 19, 2023 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Golongan pencari kerja terutama lepasan sekolah atau institut pengajian tinggi (IPT) dinasihatkan agar tidak terlalu ghairah dengan tawaran kerja bergaji lumayan.
Sebaliknya, mereka perlu menyelidik terlebih dahulu kerana dikhuatiri sindiket scammer yang boleh menjerat mereka untuk diperdagangkan ke luar negara.
Menurut salah seorang mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Roshaidi Harun, 20, ramai ejen penipuan pekerjaan berusaha menjerat mangsa di negara ini.
Katanya, mereka menggunakan kaedah pengiklanan di akhbar dan media sosial bagi mempromosikan tawaran pekerjaan bergaji lumayan.
“Mereka gunakan akhbar, media sosial seperti Facebook serta Twitter untuk cari mangsa-mangsa baharu.
“Saya tengok di Facebook ada kerja di sebuah hotel di Singapura yang tawarkan gaji SGD1,500. Kebetulan pada ketika itu saya baru tamat belajar dan cukup teruka dengan pendapatan tinggi yang ditawarkan.
“Setelah memaklumkan kepada keluarga, saya bersama seorang rakan menghubungi syarikat tersebut dan kami dimaklumkan bahawa bekerja di hotel itu telah pun penuh lalu terpaksa ditukarkan ke Thailand,” katanya, baru-baru ini.
Tambah Roshaidi, dia tidak mencurigai perkara tersebut kerana layanan baik diberikan oleh syarikat yang menyediakan pekerjaan berkenaan sehinggalah tiba di Thailand.
“Kami menaiki sebuah kereta ke satu daerah pedalaman di Myanmar sebelum diarahkan menaiki bot untuk menyeberang sebatang sungai sambil diacukan dengan senjata api.
“Ketika itu barulah kami sedar bahawa telah menjadi mangsa penipuan sindiket scammer yang sebelum ini dilaporkan di media,” katanya.
Kata Roshaidi lagi, setelah beberapa jam perjalanan, mereka dimaklumkan telah tiba ke pusat operasi di mana mereka akan bekerja sebagai scammer dengan melakukan kerja-kerja menipu orang ramai.
Sebagai rakyat Malaysia, dia menambah mereka diberikan tugas khas untuk menipu rakyat di negara ini.
“Kami tidak setuju berbuat demikian dan kesan daripada penolakan tersebut, kami dipukul dengan kayu selain ditampar, ditumbuk dan diterajang ahli sindiket tersebut.
“Kami kemudiannya dikurung tanpa diberikan makan selama beberapa hari sebelum dimaklumkan akan ‘dijual’ ke Laos pula kerana melawan,” katanya.
Roshaidi berkata, ketika dalam perjalanan dari tempat ‘kerja’ mereka di kawasan hutan tersebut, dia dan rakannya mengambil kesempatan untuk melarikan diri dengan bersembunyi di sebuah kedai makan di kawasan berhampiran.
“Alhamdulillah, beberapa jam selepas itu kami menghubungi pula dua individu di Malaysia yang kemudiannya menyalurkan wang untuk berlindung di sebuah hotel.
“Kedua-dua individu tersebut juga datang sendiri menemui kami dan membawa kami pulang ke Malaysia, penghujung tahun lalu,” katanya.