Lubuk scam: Tolak diselamatkan akibat takut diri, keluarga dibunuh - Mangsa

Astro Awani
November 19, 2023 11:15 MYT
Amirul juga pernah menyaksikan dua orang wanita ditarik rambut dan dipukul oleh ahli sindiket yang mengawal kawasan tersebut. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Salah seorang mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di KK Garden, Myawaddy, Myanmar mendedahkan pernah menolak pelawaan untuk pulang ke Malaysia ketika ditanya rakyat Malaysia yang banyak membantu menyelamatkan mangsa-mangsa di Myanmar, Victor Wong.
Menurut Amirul yang telah bekerja selama empat bulan sebagai scammer, dia dan sebahagian mangsa lain terpaksa berbuat demikian kerana telah diugut sindiket berkenaan yang mengancam keselamatannya serta keluarga jika ada berani keluar daripada kawasan tersebut.
"Sebelum ini, (Victor) pernah selamatkan mangsa-mangsa lain. Jadi saya berharap turut diselamatkan, bagaimana pun perkara tersebut dihidu lebih awal dan scammer ini melakukan ugutan.
"Selain meminta wang pampasan, mereka ini juga mengugut untuk membunuh ahli keluarga dan disebabkan itu kami terpaksa bertahan," katanya baru-baru ini.
Sementara itu, Amirul yang berasal dari Batu Pahat, Johor berkata, dia juga pernah menyaksikan dua orang wanita ditarik rambut dan dipukul oleh ahli sindiket yang mengawal kawasan tersebut.
Tambahnya, kejadian itu berlaku pada waktu malam dalam keadaan kedua-kedua wanita itu sedang mabuk dan membuat kekecohan.
Jelasnya, wanita tersebut juga dipercayai merupakan antara mangsa diperdaya sindiket berkenaan.
"Di sana, boleh mabuk tetapi jangan sampai kacau orang lain sebab apabila buat kacau, nanti akan diadukan.
"Pernah juga berlaku dua wanita dipukul ketika berada dalam pacuan empat roda.
"Tetapi apabila diselidik, mereka juga merupakan ahli sindiket. Terfikir seketika, jika ahli sendiri pun mereka boleh pukul, apatah lagi kita yang menjadi hamba mereka ini," jelasnya.
#lubuk scam #mangsa penipuan #Kaji Selidik lubuk scam
;