Lubuk scam: Tawaran peluang perniagaan dikesan jadi taktik baharu scammer - NGO
Astro Awani
November 19, 2023 09:00 MYT
November 19, 2023 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Sindiket scammer yang sebelum ini menggunakan modus operandi menawarkan pekerjaan di luar negara kini dikesan menggunakan taktik baharu dengan menawarkan peluang perniagaan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mereka kini menukar kaedah daripada mempromosikan kerja kosong dengan menawarkan mangsa untuk menjadi pengedar.
"Saya nampak sidiket dah ubah taktik, mereka tak promosikan kerja kosong tetapi membuat tawaran peluang perniagaan untuk menjadi pengedar kepada produk-produk tertentu.
"Jadi, orang kita pergi sana (luar negara lubuk scam) nak jadi pengedar, tapi kena tipu (jadi mangsa pemerdagangan manusia)," katanya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata berdasarkan laporan diterima, lebih 1,000 mangsa pemergadangan manusia dipercayai masih berada di Myanmar, dan belum dapat dibawa keluar daripada negara tersebut kerana isu logistik.
Ujarnya, peperangan yang sedang berlaku di Myanmar menyebabkan sindiket tidak dapat menjalankan operasi dan ramai mangsa berjaya melarikan diri tetapi masih sukar diselamatkan dan dibawa pulang ke Malaysia kerana akses melalui negara tersebut telah terputus.
"Masalahnya ada jambatan dibom, telah musnah menyebabkan ia terputus dan menyukarkan untuk bawa mereka pulang ke Malaysia. Maklumat kita dapat sekarang ini jalan yang dekat untuk mereka balik ke Malaysia adalah melalui China tapi tidak dibenarkan.
"Jadi kita sedang mencari jalan untuk berunding dengan kerajaan China supaya misi menyelamat rakyat Malaysia yang berada di Myanmar ini dapat diselamatkan melalui negara itu," katanya.
Beliau menjelaskan, kekangan kewangan juga menjadi perkara yang dihadapi dalam usaha membawa pulang mangsa yang berjaya diselamatkan.
"Apabila mangsa-mangsa ini diselamatkan, ia melibatkan pengangkutan, pembayaran kompaun kepada imigresen daerah terbabit kerana mereka kebanyakan telah tinggal lebih masa, kos untuk tinggal di hotel atau kediaman sementara menunggu urusan dokumentasi untuk dibawa pulang dan tiket kapal terbang.
"Maklumat tidak rasmi kami peroleh, pihak kedutaan juga tak ada peruntukan untuk buat bayaran dan kita mengharapkan keluarga mangsa, tapi kebanyakan mereka juga tiada kemampuan," katanya.
Justeru, beliau menjelaskan usaha memastikan tiada lagi rakyat Malaysia terus menjadi mangsa pemerdagangan manusia disebabkan terpedaya dengan scammer, perlu dilakukan menerusi kawalan dan sekatan perjalanan terhadap golongan berisiko.
"Saya mencadangkan kepada imigresen untuk cari satu punca kuasa supaya dapat menghalang individu yang berisiko untuk menjadi mangsa.
"Perlu adakan kawalan di pintu sempadan supaya tidak dibenarkan mereka untuk keluar negara. Tetapkan kriteria mereka berisiko ini contohnya masih muda, tak ada sejarah perjalanan ke mana-mana negara, tidak mempunyai sebarang kontrak kerja, tiada simpanan dalam akaun, dan pertama kali buat pasport," katanya.
Beliau menambah sudah sampai masanya tawaran-tawaran kerja perlu mendapat kelulusan tertentu daripada agensi-agensi berkaitan supaya syarikat berkelayakan dan ditapis oleh Kementerian Sumber Manusia dibenarkan membuat pengiklanan kerja kosong.