Lubuk scam: Rangka undang-undang khusus pemerdagangan manusia, sediakan talian 'hotline'
Astro Awani
November 19, 2023 10:00 MYT
November 19, 2023 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Satu undang-undang khusus berkenaan pemerdagangan manusia perlu dirangka di Malaysia bagi memerangi permasalahan itu daripada akar umbi.
Pensyarah Kanan Akademik Pengajian Islam Komtemporari (ACIS) UiTM Cawangan Perlis, Dr Syaimak Ismail berkata, untuk tujuan itu, satu badan khas sebagai penguatkuasa yang akan menyiasat dan merangka undang-undang sesuai dengan jenayah itu perlu ditubuhkan.
Menurutnya, kerajaan Malaysia juga perlu membincangkan isu tersebut di peringkat global dan mengukuhkan kerjasama dengan negara yang menjadi lubuk scam sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang.
"Pengukuhan kerjasama ini penting bagi jangka masa panjang. Misalnya, jika ada rakyat Malaysia yang terperangkap di negara (lubuk scam) tersebut, kerajaan Malaysia mempunyai akses untuk mendapatkan maklumat dan segera menyelamatkan mangsa yang terlibat tanpa perlu menunggu masa yang lama.
"Dalam jangka masa panjang, pihak kerajaan perlu menyediakan dana khusus untuk memerangi lubuk scam ini.
"Dana berkenaan boleh digunakan untuk penganjurkan program kesedaran, perlindungan kepada mangsa yang terselamat dan penguatkuasa undang-undang," katanya, baru-baru ini.
Kaji selidik bertajuk 'Lubuk scam: Tahap kesedaran rakyat Malaysia, pengetahuan tentang langkah-langkah mengelak daripada terjebak dan persepsi terhadap tindakan kerajaan', dijalankan secara dalam talian bermula 20 Oktober hingga 27 Oktober lalu.
Seramai 991 responden terdiri daripada mereka berumur 16 hingga lebih 61 tahun terlibat dalam kaji selidik berkenaan, di mana lebih 80 peratus responden adalah kumpulan berumur 16 hingga 40 tahun.
Ia dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Sosial dan Polisi Tun Tan Cheng Lock, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), UiTM dan Huayan Policy Institute (HPI), dengan sokongan lima agensi media iaitu Sinar Harian; The Star; Sin Chew Daily; Astro AWANI; dan Malaysia Nanban.
Mengulas lanjut, Syaimak berkata, penyelesian isu scam juga perlu dibuat untuk jangka masa pendek iaitu dengan mewujudkan satu talian khas seperti nombor hotline membolehkan rakyat Malaysia menyemak sebarang keraguan tawaran yang diterima.
Katanya, orang ramai boleh menghubungi nombor berkenaan sekiranya mendapati ada unsur penipuan termasuk melaporkan isu yang disyaki melibatkan pemerdagangan manusia melalui talian tersebut.
"Pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk menerima setiap panggilan dan laporan perlu dilatih bagi menjawab semua persoalan yang ditanya.
"Mereka juga perlu dilatih untuk mengenalpasti modus operandi lubuk scam selain tahu jawapan yang perlu diberikan kepada pemanggil," katanya.
Tambah beliau, penyediaan satu laman Facebook, Instagram, aplikasi X dan laman web khusus berkenaan lubuk scam boleh disediakan sebagai panduan kepada orang awam untuk memahami modus operandi lubuk scam.
"Material yang disediakan itu harus melibatkan pihak yang terlibat dalam pengurusan isu scam ini seperti pegawai polis, pihak imegresen dan mangsa terselamat.
"Program kesedaran dan mendidik masyarakat perlu dilakukan secara berterusan untuk memahamkan orang ramai yang mahukan pekerjaan dengan gaji dan lumayan," katanya.