Lubuk scam: Proses kaji selidik berdepan serangan scammer
Astro Awani
November 19, 2023 08:30 MYT
November 19, 2023 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kaji selidik berhubung lubuk scam yang dilakukan Pusat Penyelidikan Sosial dan Polisi Tun Tan Cheng Lock, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dengan kerjasama Akademik Pengajian Islam Komtemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Huayan Policy Institute (HPI), terpaksa dihentikan lebih awal daripada dijadualkan akibat serangan dalam talian.
Ketua Pusat Penyelidikan Sosial dan Polisi Tun Tan Cheng Lock, UTAR , Dr Chin Yee Mun berkata, kaji selidik tersebut sepatutnya berlangsung bermula 20 hingga 30 Oktober tetapi dihentikan tiga hari lebih awal.
Menurutnya, serangan tersebut dipercayai dilakukan oleh scammer yang menyerang kaji selidik dengan menggunakan autobot untuk menjana maklum balas palsu.
"Lebih daripada 1,000 respons telah dijana oleh bot antara 6 petang hingga 8 malam pada 27 Oktober lalu.
"Pasukan penyelidik memutuskan untuk menghentikan tinjauan dalam talian bagi mengelakkan lebih banyak pencerobohan dan mengekalkan integriti data," katanya.
Jelas beliau, sepanjang kaji selidik dijalankan, maklum balas daripada seramai 991 responden asli berjaya direkodkan.
"Sekiranya serangan tidak berlaku dan kaji selidik diteruskan, mungkin lebih ramai responden terlibat," katanya.
Seramai 991 responden terdiri daripada mereka berumur 16 hingga lebih 61 tahun terlibat dalam kaji selidik berkenaan, di mana lebih 80 peratus responden adalah kumpulan berumur 16 hingga 40 tahun.
Ia turut melibatkan kerjasama lima agensi media iaitu Sinar Harian; The Star; Sin Chew Daily; Astro AWANI; dan Malaysia Nanban.
Lubuk scam merujuk kepada hub penipuan yang dipercayai beroperasi dari Myanmar, Laos dan Kemboja menggunakan teknologi siber.
Pekerja di lubuk scam kebanyakannya menjadi mangsa penipuan, ditipu, bahkan ada yang menjadi mangsa culik yang akhirnya bekerja sebagai hamba zaman moden iaitu jenayah paksa.
Mereka dipaksa pengendali untuk menipu mangsa menggunakan pelbagai saluran dalam talian dan taktik penipuan berteknologi tinggi.
Pengendali lubuk scam terbabit dalam jenayah rentas negara yang serius melibatkan penculikan, pemerdagangan manusia, penahanan haram, pengambilan organ, pelacuran paksa, pembunuhan, perhambaan dan penipuan.