Lubok Antu punya potensi jadi destinasi eko pelancongan utama Sarawak
Astro Awani
Mac 24, 2019 18:56 MYT
Mac 24, 2019 18:56 MYT
Ada apa di Lubok Antu di Sarawak?
Bagi orang Sarawak, Lubok Antu terkenal dengan Empangan Hidro Batang Ai.
Kawasan sekitarnya cantik dan punya potensi besar untuk dijadikan destinasi eko pelancongan utama di Sarawak.
Empangan yang mula beroperasi sejak 1983 itu turut miliki daya tarikan lain antaranya pusat peranginan dan hotel.
Disebabkan faktor itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merancang menjadikan lokasi Empangan Hidro Batang Aik sebagai destinasi penganjuran sukan air.
“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk kita membuat promosi seperti yang dilakukan di China, Eropah dan New Zealand dengan membina bangunan di kawasan sekelililing empangan untuk menarik pelancong datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pesta Batang Ai 2019 dan ‘Batang Ai Kitchen di Pentas MDLA, Pangkalan Batang Ai pada Sabtu.
Tambahnya, Ketua Menteri telah membuat perancangan untuk menjadikan Empangan Hidro Batang Ai sebagai lokasi ‘Sarawak Water Grid’.
Selain itu, Batang Ai turut dilengkapi dengan sebuah Taman Negara yang dijadikan pusat pemeliharaan dan pemuliharaan spesis Orang Utan.
Justeru, beliau mencadangkan rakyat di Lubok Antu bekerjasama mengusahakan sektor eko pelancongan bagi meningkatkan kegiatan pelancongan dan keusahawanan di kawasan terbabit.
#Batang Ai
#Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
#Empangan Hidro Batang Ai
#pelancongan Lubok Antu
#Sarawak