Lubang enam meter di Jalan Lojing-Gua Musang sedang dibaiki - Polis
Bernama
November 25, 2024 15:15 MYT
November 25, 2024 15:15 MYT
GUA MUSANG: Sebuah lubang sedalam enam meter yang berlaku di Jalan Lojing-Gua Musang di Kampung Jekjok, Pos Brooke, di sini sedang dibaiki, kata Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo.
Beliau berkata pada masa ini hanya satu lorong dibuka bagi pengguna jalan raya dari Lojing dan Cameron Highlands.
"Beberapa tanda peringatan juga diletakkan mengenai kerja-kerja pembaikan jalan itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, Penghulu Kampung Jekjok, Pos Brooke, Jubir Sekmo berkata kejadian lubang sedalam enam meter dipercayai berpunca daripada hujan berlarutan selama tiga hari menyebabkan aliran air yang banyak menuju ke bawah tanah.
Kejadian itu katanya, disedari kira-kira 8 pagi Sabtu lepas sebelum penduduk setempat bertindak meletakkan halangan di atas jalan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan utama Gua Musang-Lojing itu.
"Kejadian ini kali pertama berlaku dan kami risau lebih banyak kawasan berisiko mengalami lubang benam yang boleh menyebabkan kecederaan atau kehilangan nyawa.
"Selain itu, lubang berkenaan juga dipercayai akibat kesan penerokaan dan pembukaan kawasan hutan untuk tujuan membuka ladang sayur selain air hujan mengalir dengan deras di bawah tanah," katanya kepada pemberita di Kampung Jekjok di sini.
-- BERNAMA