Lubang besar di Jalan Medoi Kampung Jawa gusarkan penduduk

Bernama
Mac 3, 2023 15:44 MYT
Tinjauan mendapati lubang besar itu wujud akibat mendapan tanah yang difahamkan berlaku Rabu lepas. - Bernama
SEGAMAT: Penduduk sekitar Kampung Jawa di sini, bimbang mengenai kejadian mendapan tanah di Jalan Medoi, kampung berkenaan yang menyebabkan wujudnya lubang besar di laluan itu.
Jalan terbabit merupakan laluan utama penduduk ke bandar Segamat dan Felda Medoi.
Tinjauan Bernama mendapati lubang besar itu wujud akibat mendapan tanah yang difahamkan berlaku Rabu lepas.
Seorang penduduk, Abdul Aziz Abdul Fattah, 63, berkata mendapan tanah dipercayai berlaku susulan air banjir yang deras.
Menurutnya kawasan mendapan itu adalah kawasan tebatan banjir yang dibina pada 2016 dan merupakan laluan air.
"Hujan lebat sejak Isnin lepas menyebabkan air naik sangat cepat dan tinggi, jadi di bawah tebatan banjir itu adalah laluan air, ia tidak dapat menampung dan menyebabkan berlaku lubang besar.
"Makin lama, lubang tersebut besar dan merebak ke laluan jalan raya utama. Kita bimbang ini akan membahayakan pengguna dan penduduk setempat," katanya kepada Bernama hari ini.
Seorang lagi penduduk, Zainun Hassan, 51, berkata terdapat papan tanda yang memaklumkan jalan rosak di kawasan lubang besar itu namun sehingga hari ini belum ada tindakan daripada pihak berkuasa bagi mengatasi mendapan itu.
"Jika laluan ini terus ditutup, tentu akan menyukarkan penduduk setempat dan orang luar, saya berharap ada tindakan pantas daripada pihak yang berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.
Zainun turut mendakwa kejadian itu menyebabkan bekalan air sekitar Kampung Jawa terputus sejak 1 pagi tadi yang menyukarkan penduduk untuk membersihkan rumah akibat banjir.
Katanya cuaca mendung sejak semalam menyebabkan air banjir mulai surut dan penduduk terjejas sudah mula membersihkan rumah masing-masing.
-- BERNAMA
#lubang besar #jalan medoi #banjir #Segamat #banjir johor
;