Lubang benam berlaku di Persiaran Gurney

Bernama
September 25, 2024 23:18 MYT
H'ng berkata situasi itu terkawal dan kerja-kerja pembaikan dijangka siap malam ini manakala laluan boleh dibuka kepada pengguna jalan raya esok. - Gambar Astro AWANI
GEORGE TOWN: Insiden lubang benam berlaku di Jalan Persiaran Gurney, di sini hari ini disebabkan sebuah lori membawa muatan bata melalui kawasan jajaran paip kumbahan yang baru dibina oleh pihak kontraktor projek Gurney Bay.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jason H'ng Mooi Lye berkata berikutan itu pihak kontraktor dengan segera telah mengalihkan lori terlibat dan seterusnya menjalankan kerja korekan untuk pembaikan.
"Kerja-kerja pengorekan di Persiaran Gurney itu adalah kerja kecemasan disebabkan insiden lubang benam pada pagi tadi yang berpunca daripada sebuah lori membawa muatan bata.
"Ekoran kejadian itu, berlaku kebocoran pada paip kumbahan itu atau kemungkinan kebocoran disebabkan proses pemasangan yang tidak sempurna semasa kerja pembaikan akibat kejadian yang sama sebelum ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
H'ng berkata situasi itu terkawal dan kerja-kerja pembaikan dijangka siap malam ini manakala laluan boleh dibuka kepada pengguna jalan raya esok.
Terdahulu tular beberapa gambar memaparkan tayar belakang sebuah lori membawa muatan bata terbenam dalam lubang dipercayai mendap berikutan terdapat lubang benam di Persiaran Gurney.
Difahamkan kejadian berlaku kira-kira 8 pagi dan ekoran itu laluan berkenaan mengalami kesesakan lalu lintas teruk kerana satu lorong terpaksa ditutup bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan.
Berdasarkan gambar yang tular, kejadian itu telah menyebabkan lubang benam kira-kira berdiameter satu meter.
-- BERNAMA
#Persiaran Gurney #lubang benam #kerja kecemasan #kerja korekan
;