LUAS nafi keluar kenyataan 4 loji pembersihan air beroperasi semula

Bernama
September 4, 2020 00:18 MYT
Kenyataan LUAS pada Jumaat menyebut mesej tular yang memaklumkan bahawa pencemaran di kawasan Sungai Gong telah selesai sepenuhnya itu adalah palsu. - Facebook Lembaga Urus Air Selangor
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menafikan penyebaran mesej yang mendakwa loji pembersihan air (LPA) SSP1, SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang akan mula beroperasi semula pada 8 malam tadi.
Kenyataan LUAS pada Jumaat menyebut mesej tular yang memaklumkan bahawa pencemaran di kawasan Sungai Gong telah selesai sepenuhnya itu adalah palsu.
"Tindakan penyebaran mesej palsu itu mengelirukan orang awam memandangkan insiden pencemaran ini telah memberi kesan dari segi gangguan bekalan air kepada pengguna.
"Sebarang berita yang tersebar melalui mana-mana aplikasi mesej atau media sosial berkaitan keputusan pemantauan bau oleh pihak LUAS tanpa kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh LUAS yang dimuat naik oleh LUAS ke portal rasmi mahupun laman Facebook, Instagram dan Twitter rasmi LUAS adalah tidak benar," katanya.
Menurut kenyataan itu, LUAS bersama pihak yang terlibat sedang bertungkus-lumus melaksanakan pemantauan dan langkah-langkah mitigasi pencemaran.
-- BERNAMA
#Lembaga Urus Air SelangorLembaga Urus Air Selangor #LUAS #pencemaran air
;