Luahan penuh emosi dan bermakna daripada cucunda Sultan Kedah
Kohilah Sekaran
September 11, 2017 19:16 MYT
September 11, 2017 19:16 MYT
Cucunda Sultan Kedah, Abdul Halim Mu'adzam Shah memberi penghormatan terakhir buat Almarhum nendanya yang mangkat kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Menerusi laman Instagram, Raja Sarina Iskandar mengimbas kembali memori beliau bersama Almarhum serta pengorbanan baginda buat negara Malaysia dan Kedah.
Berikut adalah terjemahan daripada kapsyen yang ditulis oleh Raja Sarina, setelah Astro AWANI mendapat kebenaran secara terus daripada beliau:
"Wahai Tok,
"Hari ini dan selamanya, Kedah dan Malaysia telah hilang salah seorang daripada raja-rajanya yang hebat. Dedikasi Tok kepada Kedah dan Malaysia telah memberi inspirasi kepada saya untuk membesar. Apabila Tok dimasyhur sebagai Agong buat kali kedua pada usia 83 tahun, saya berindah bersama Tok ke Istana Negara. Di situlah saya buat pertama kali melihat kehidupan Tok di belakang tabir.
"Saya melihat Tok tidak makan hanya untuk berlatih ucapan atau untuk segera ke pejabat. Lelaki berusia 80-an mana yang berbuat begitu? Kebanyakan daripada kita mengimpikan persaraan pada usia 50 tahun jika boleh! Tapi Tok tidak boleh walaupun jika mahukannya. Pernah juga, dan tidak ramai yang tahu, ketika Tok gering juga Tok teruskan tugas-tugas sebagai Agong dan Sultan.
"Antara acara majlis, Tok akan berada di wad hospital. Apabila Tok meninggalkan wad, saya akan melihat Tok kelihatan normal di TV ketika menyapa Perdana Menteri, menteri-menteri kerajaan dan rakyat. Namun, sejurus acara berakhir, Tok akan kembali ke wad hospital dengan tiub yang bersambung ke tubuh. Walaupun pada hari Tok amat gering, Tok akan tepati masa. Tok tidak akan membuat sesiapa menunggu.
"Inilah sisi seorang raja yang tidak siapa tahu. Tok tidak hanya bersemayam di takhta dan berseronok dengan kekayaan seperti yang difikirkan golongan tertentu. Ada pengorbanan kerana Tok tidak boleh jalani kehidupan normal. Tiada privasi dan tiada jadual normal. Status Tok adalah amanah daripada Allah.
"Orang selalunya suka menyalahkan apabila pemimpin membuat kesalahan dan Tok akan pastikan dirinya membuat yang terbaik. Apabila saya memberitahu kepadanya tentang blog ini, atau orang itu, mempersendakannya, Tok tidak pernah marah. Tok malah tenang dan hanya berkata: 'Tok dah buat yang terbaik..."
"Tok telah lakukan yang terbaik dan lebih daripada itu sepanjang hidup Tok. Punca kenapa saya tahu menjadi seorang puteri yang baik adalah kerana Tok telah mengajar saya. Saya sangat menyayangi Tok. Tok akan selamanya menjadi Sultan saya. Al-Fatihah."