LTU kurangkan masa perjalanan KL-Kelantan kepada 3 jam - KKR

Norfarhiza Mohd Atar
Januari 26, 2023 17:05 MYT
Abdul Rahman (tiga dari kiri) berkata, LTU yang dahulunya dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) merupakan salah satu dari projek berimpak besar di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR). - Gambar/ Astro AWANI
LIPIS: Projek pembinaan laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dijangka dapat menyingkatkan masa perjalanan Kuala Lumpur-Kelantan kepada tiga jam sahaja, walaupun pada musim perayaan yang kini memakan masa hampir 20 jam.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, LTU yang dahulunya dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) merupakan salah satu dari projek berimpak besar di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) yang melibatkan enam pakej dari Kelantan ke Pahang yang melibatkan kos RM10 bilion dengan jarak lebih 350 kilometer.
"Projek yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026 ini akan memberi kemudahan laluan kepada sebanyak dua juta kenderaan ketika waktu puncak termasuk musim perayaan dan cuti sekolah.
"Kalau jalan yang ada sekarang ini, ia mengambil masa 18 hingga ke 20 jam perjalanan Kuala Lumpur-Kelantan semasa musim perayaan, tetapi apabila LTU siap ia boleh menjimatkan begitu banyak masa, jarak dan kos.
"Jangkaan masa perjalanan itu boleh dicapai mengambil kira jarak perjalanan dari Kuala Lumpur (sempadan Bentong) ke Gua Musang, selain LTU mempunyai empat lorong dan tiada plaza tol," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika membuat tinjauan ke tapak projek LTU Seksyen 3J, Lipis di Kampung Selindang, Padang Tengku di sini hari ini.
Hadir sama Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Ahli Dewan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long; Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Dasar dan Pembangunan KKR, Datuk Zahrul Hakim Abdullah; Pemangku Timbalan Ketua Pengarah JKR (Sektor Infrastruktur), Datuk Ir. Zulkipli Nasri; Pengarah JKR Pahang, Datuk Ir. Hafizah Zakaria.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, LTU turut menjadi alat perdagangan pelabuhan darat yang membawa hasil dagangan dari Kelantan ke Pelabuhan Klang.
"Kita tidak ada pelabuhan laut dan sungai untuk bawa hasil dagangan ke Pelabuhan Klang.
"Dengan kewujudan LTU ini kenderaan berat akan melalui jalan ini dengan cepat dan jimat masa," ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata tinjauan dilakukan di LTU Seksyen 3J, Lipis hari ini, bagi mengenal pasti isu dan cabaran yang dihadapi kontraktor bagi memastikan projek itu dapat disiapkan mengikut jadual yang telah dirancang.
"Seksyen 3J melibatkan skop kerja pembinaan jalan baharu berkembar empat lorong dua hala (K2-2) piawaian JKR R5 sepanjang 6.95 kilometer dari Kampung Seberang Jelai ke Kampung Relong, pembinaan lima buah jambatan, dua Vehicular Box Culvert (VBC) dan pengambilan balik tanah.
"Projek yang memakan kos sebanyak RM257 juta ini telah mula dibina pada 29 Jun 2020 dan dijangka siap pada 24 Julai 2024 dengan kemajuan terkini sebanyak 14.10 peratus," jelasnya.
#LTU #KL-Kelantan #pendek masa perjalanan #Lingkaran Tengah Utama
;