LTU: 54 peratus telah dibina, yakin sasaran siap dapat dicapai
Bernama
Jun 24, 2023 20:34 MYT
Jun 24, 2023 20:34 MYT
RAUB: Sebanyak 54 peratus daripada hampir 300 kilometer (km) laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Bentong dekat sini telah siap.
LTU dahulunya dikenali sebagai projek Central Spine Road (CSR).
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pihaknya yakin sasaran siap keseluruhan LTU pada 2026 dapat direalisasikan berdasarkan kepada perkembangan semasa pembinaan.
"Walaupun kita meletakkan sasaran (siap) tahun 2026, pada lawatan saya dan pertemuan dengan kontraktor, kita mahu kalau mereka boleh laksanakan, sasaran ini dapat dicapai lebih awal iaitu 2025," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pembukaan LTU Seksyen 5B: Kampung Orang Asli Sungai Chandan ke Kampung Asap di sini pada Sabtu, yang dirasmikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Abdul Rahman optimis sasaran pembukaan lebih awal keseluruhan lebuh raya itu dapat dilaksanakan, mengambil kira pembukaan Seksyen 5B sepanjang 16km, juga siap dua bulan lebih awal.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata pembinaan LTU bukan hanya memudahkan perjalanan dari ibu negara ke Kelantan, tetapi juga menjimatkan kos bahan api dan mengurangkan kesesakan khususnya pada musim perayaan dan cuti sekolah kerana tidak perlu melalui beberapa kawasan bandar.
"Pembinaan lebuh raya secara automatik juga membawa limpahan ekonomi dan menjadi nilai tambah serta selari dengan fokus kerajaan negeri mahu meningkatkan ekonomi di kawasan Pahang Barat.
"Penyediaan infrastruktur seperti ini juga dapat menarik pelabur datang, kerana mereka menilai kemudahan yang ada sebelum membuat keputusan (untuk melabur)," katanya.
Dianggarkan sekitar 500,000 kenderaan akan menggunakan LTU pada waktu puncak termasuk menjelang Aidiladha pada minggu hadapan.
Sehubungan itu, Wan Rosdy menasihatkan pengguna bukan hanya berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya, namun turut mengamalkan sikap menjaga kemudahan tersebut.
Pembukaan rasmi Seksyen 5B bermula tengah malam ini, selepas mula dibina pada 14 Mac 2018 melibatkan kos RM294.6 juta, antaranya melibatkan pembinaan jalan empat lorong dua hala, lima jambatan dan dua vehicular box culvert (VBC).
Sebelum ini, pengguna jalan raya dari ibu negara atau Bentong perlu melalui Jalan Laluan Persekutuan 8 iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Gua Musang untuk ke bandar Raub yang mengambil masa 45 minit dengan jarak lebih 30km, namun kini dapat dipendekkan kepada 18.6km dengan masa 15 minit.
-- BERNAMA