LTTE: Polis belum terima makluman rasmi daripada pejabat Peguam Negara

Afiezy Azaman
Februari 22, 2020 03:47 MYT
Abdul Hamid berkata pihaknya masih belum menerima sebarang kenyataan mengenai perkara itu.
Polis masih belum menerima sebarang makluman rasmi daripada pejabat Peguam Negara berikutan keputusannya menggugurkan pertuduhan terhadap 12 lelaki warga tempatan kerana didakwa menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata setakat Sabtu, pihaknya masih belum menerima sebarang kenyataan mengenai perkara itu.
“Pihak saya belum terima apa-apa pemberitahuan rasmi mengenai perkara ini daripada pejabat Peguam Negara,” katanya ringkas kepada Astro AWANI, pada Sabtu.
Pada Jumaat, Peguam Negara, Tommy Thomas menarik balik pertuduhan terhadap 12 tertuduh yang dikaitkan dengan aktiviti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berkuat kuasa serta-merta.
BACA: Peguam Negara hentikan prosiding terhadap 12 tertuduh serta-merta
BACA: Kenyataan penuh Peguam Negara Tommy Thomas berhubung perbicaraan LTTE
Ia selepas pihaknya melihat tidak ada prospek jelas untuk sabitan ke atas mana-mana 34 pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh dan keputusan muktamad itu dibuat berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Mereka yang dituduh termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek yang juga Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60.
#ADUN #ADUN Seremban Jaya' #G Saminathan #Gadek #Harimau Pembebasan Tamil Eelam #Ketua Polis Negara #LTTE #P Gunasekaran #Pejabat Peguam Negara #polis #Tan Sri Abdul Hamid Bador #Tommy Thomas