LTTE: Ketua Polis Johor terima ugutan bunuh
Ernalisa Othman
Disember 20, 2020 13:53 MYT
Disember 20, 2020 13:53 MYT
JOHOR BAHRU: Polis Johor akan mendapatkan kerjasama Polis Selangor bagi mengenal pasti tiga individu yang didakwa sebagai anggota kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang mengugut mahu membunuh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Ancaman bunuh itu diterima Ayob Khan dua minggu lalu menerusi panggilan telefon daripada individu tidak dikenali kepada pegawainya.
"Ini maklumat tuan-tuan, katanya ada tiga orang anggota LTTE yang datang dari Selangor, ke Johor, untuk membunuh saya.
"Kita sedang buat siasatan untuk dapatkan lebih maklumat," kata Ayob Khan di sini, hari ini.
Jelasnya, ugutan seumpama itu bukan perkara baharu baginya.
Namun, beliau menegaskan, pihaknya tidak mengambil ringan ugutan sebegitu itu sama ada terhadap dirinya atau mana-mana pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Ayob Khan, motif ugutan bunuh itu masih belum dapat dipastikan ketika ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ia sekadar mahu memanaskan semula isu LTTE.
Pada 18 Disember lalu, Ayob Khan mendedahkan bahawa beliau menerima ugutan daripada anggota LTTE yang mahu membunuhnya.
Katanya, ugutan tersebut diterimanya pada minggu sebelumnya, dilakukan oleh tiga anggota LTTE yang berada di Selangor.
"Ugutan itu mengatakan tiga anggota LTTE akan datang ke Johor untuk membunuh saya.
"Ini ugutan terbaharu yang saya terima," katanya menerusi Sinar Live bertajuk 'Biar Diancam, Saya Tidak Gentar!' yang bersiaran secara langsung dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru ketika itu.
#ugutan
#polis
#LTTE
#ayob khan mydin pitchay
#panggilan telefon
#bunuh
#Polis Selangor
#polis johor