LTdL: Beberapa jalan di Negeri Sembilan, Pulau Pinang ditutup

Bernama
September 26, 2024 04:15 MYT
Beberapa laluan di daerah Nilai, Seremban dan Rembau ditutup secara berperingkat susulan perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 bermula 3 Okt ini. - Gambar fail Bernama
SEREMBAN: Beberapa laluan di daerah Nilai, Seremban dan Rembau ditutup secara berperingkat susulan perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, membabitkan peringkat kelima melalui laluan dari KLCC ke Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka bermula 3 Okt ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, laluan membabitkan sejauh 69.3 kilometer itu akan ditutup secara berperingkat semasa acara berlangsung bermula pada 12 tengah hari hingga 2 petang.
"Perlumbaan itu melalui sempadan Nilai, Beranang, lampu isyarat Mantin Pajam Batu 12, Pinggiran Bayu, Mantin Lenggeng, Pekan Mantin, Simpang Tiga Mantin Lebuhraya Lekas, Jalan Seremban Mantin, Jalan Bukit Mantin, Lebuhraya Lekas, Jalan Tun Dr Ismail, Jalan Kapitan Tam Yeong, Jalan Yam Tuan, Jalan Za'aba, Jalan Tunku Antah sehingga lampu isyarat Bidara.
"Turut terlibat di Jalan Rahang, Jalan Seremban Tampin, Pedas, Pekan Rembau, lampu isyarat Pejabat Daerah Rembau, Kota, Jalan Seremban Tampin, Kendong, sempadan Rembau ke Alor Gajah, Melaka," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, pengguna jalan raya boleh melalui laluan alternatif, iaitu dari daerah Nilai, sempadan Beranang ke Seremban boleh melalui Lebuhraya Lekas, masuk Plaza Tol Eco Majestic/Pajam manakala dari Nilai-Seremban boleh melalui lebuh raya PLUS, masuk Plaza Tol Nilai.
Bagi daerah Seremban pula, orang ramai boleh melalui Jalan Dato Bandar Tunggal, Jalan Tuanku Munawir, Jalan Dato Abdul Malek, Lebuhraya Lekas, Jalan Tuanku Antah, Jalan Lingkaran Tengah, Jalan Rahang Kecil, Jalan Persiaran Senawang 1, Jalan Forest Height dan Jalan Tuanku Jaafar.
Di daerah Rembau laluan alternatif ialah di jalan Pedas, Kundur-Linggi, Lebuhraya Plus Senawang, Jalan Pedas-Rembau, Jalan Pulau Mampat dan Jalan Seberang Batu Hampar.
"Semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan supaya tidak melalui jalan yang digunakan oleh penganjur perlumbaan itu pada masa dan tarikh yang ditetapkan.
"Pengguna jalan raya juga harus memberi kerjasama dan mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas," katanya dan menambah sebanyak 278 anggota polis dan pegawai Kontinjen Negeri Sembilan terlibat dalam memastikan kelancaran perlumbaan itu kali ini.
Sementara itu, di Pulau Pinang, beberapa jalan di Seberang Perai Utara (SPU) akan ditutup dan dilencongkan pada 30 Sept (Isnin) ini.
Ketua Polis Daerah SPU, ACP Anuar Abdul Rahman berkata, sebanyak 128 peserta LTdL 2024 akan menggunakan laluan di Jambatan Merdeka iaitu sempadan SPU dan Kuala Muda, Kedah dan berakhir di Dataran Pemuda Butterworth.
"Peserta akan melalui Jalan Bumbung Lima, Jalan Kedah, Jalan Titi Mukim, Jalan Teluk Air Tawar, Jalan Bagan Ajam, Jalan Kampung Gajah, Jalan Bagan Luar dan berakhir di Dataran Pemuda Butterworth.
"Sepanjang perlumbaan itu, jalan-jalan yang dilalui peserta LTdL 2024 akan ditutup dan dilencongkan kepada orang ramai manakala bermula 8 malam 29 Sept, sepanjang jalan Bagan Luar iaitu berhadapan stesen minyak Petron akan ditutup untuk kerja-kerja pemasangan khemah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pengguna jalan raya yang ingin menuju ke Bagan Luar perlu menggunakan Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) manakala laluan dari BORR ke Jalan Heng Choon Thian akan ditutup bermula 1 tengah hari hingga 3 petang.
Anuar berkata, Jalan Bagan Luar juga akan ditutup bermula 1 tengah hari hingga 3 petang dan pengguna yang ingin ke Jalan Heng Choon Thian arah BORR akan dilencongkan ke Jalan Heng Choon Thian arah ke Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE).
"Jalan Heng Choon Thian dari arah BKE turut ditutup bermula 1 tengah hari hingga 3 petang, pengguna jalan raya yang ingin ke BORR akan dilencongkan ke Jalan Bagan Luar arah ke Jalan Matcher," katanya dan menambah orang ramai dilarang meletakkan kenderaan di sepanjang jalan yang terlibat bagi kelancaran LTdL.
Di Pahang, beberapa jalan di daerah Cameron Highlands, Raub dan Bentong akan ditutup secara berperingkat membabitkan peringkat ketiga dan keempat bermula 1 Okt ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, bagi peringkat ketiga iaitu perlumbaan yang bermula dari Taiping, Perak dan berakhir di Tanah Rata, Cameron Highlands pada 1 Okt, penutupan penuh jalan terbabit akan bermula pada 12.30 tengah hari dan dibuka semula secara berperingkat.
"Perlumbaan akan melalui Jalan Simpang Pulai, Jalan Kampung Raja, Jalan Kuala Terla, Jalan Tringkap, Jalan Brinchang dan Jalan Tanah Rata. Penutupan jalan dari simpang 3 Blue Valley ke Simpang Pulai akan dilakukan apabila kumpulan Cavalvade sampai di Petronas Simpang Pulai, Perak.
"Penutupan keseluruhan jalan dari simpang 3 Blue Valley/Gua Musang ke Tanah Rata akan dilakukan apabila kumpulan Cavalcade sampai di sempadan Cameron Highlands-Simpang Pulai," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, pengguna jalan raya dari Tapah ke Gua Musang boleh menggunakan laluan alternatif iaitu jalan Tapah/Cameron Highlands ke Ringlet ke Sungai Koyan melalui Bandar Lipis ke Merapoh dan seterusnya ke Gua Musang.
"Untuk makluman, Cameron Highlands tiada jalan alternatif yang lain. Bagi pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur ke Gua Musang, lencongan jalan Tapah-Ringlet-Sungai Koyan-Lipis-Merapoh-Gua Musang," katanya.
Yahaya berkata, bagi perlumbaan peringkat keempat yang berakhir di Bentong pada 2 Okt pula, penutupan jalan yang terlibat akan bermula pada 12.45 tengah hari.
"Jalan yang akan ditutup ialah Jalan Bukit Fraser, Jalan Teranum, jalan dalam Bandar Raub, Jalan Pintu Padang, Jalan Ulu Gali, Jalan Sungai Ruan, Jalan Sungai Klau, Jalan RTP Klau, Kampung Lebu, Jalan Lurah Bilut-Bentong, Jalan Bentong-Raub dan Dataran Bentong," katanya.
Beliau berkata, bagi pengguna jalan raya dari Bentong, Kuantan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, mereka boleh ke Raub melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR).
"Bagaimanapun, tiada laluan alternatif bagi pengguna jalan raya lain di peringkat empat yang melibatkan laluan Raub kerana laluan melibatkan jalan ke pusat bandar, Lipis dan Kuala Lumpur.
"Pengguna perlu menunggu sehingga laluan dibuka semula secara berperingkat," katanya. - BERNAMA
#LTdL #jalan ditutup #pulau pinang #Negeri Sembilan #Le Tour de Langkawi
;