LTAT umum dividen 3.5 peratus bagi tahun 2020
Bernama
Mei 11, 2021 18:11 MYT
Mei 11, 2021 18:11 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengisytiharkan pembayaran dividen sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding 2.5 peratus pada tahun 2019.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dana itu mampu mengisytiharkan peningkatan dividen bagi 2020 berikutan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM229 juta berbanding RM92.8 juta pada 2019.
"Saya berpuas hati dengan keputusan yang dicapai oleh LTAT bagi tahun 2020, lebih-lebih lagi apabila ia dicapai di sebalik persekitaran ekonomi mencabar susulan pandemik COVID-19 yang menyebabkan pergolakan ekonomi dan turun naik pasaran pada 2020," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, faktor penyumbang utama kepada pencapaian yang lebih baik tahun lalu adalah susulan kejayaan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi menerusi Pelan Transformasi LTAT.
"Ini membolehkan LTAT mencatatkan peningkatan keuntungan tertahan sebanyak RM287.5 juta selepas bayaran dividen berjumlah RM310.7 juta berbanding keuntungan tertahan sebanyak RM63.5 juta pada 2019," katanya.
Ismail Sabri berkata, kerajaan sedar bahawa kebajikan hadapan negara terutama anggota tentera yang sedang berkhidmat harus terus menjadi keutamaan.
"Oleh itu, kami berbesar hati untuk menyokong LTAT bagi memastikan peningkatan dividen bagi tahun tersebut," katanya.
Katanya, Kementerian Pertahanan, bagi semua anggota tentera yang menerima manfaat daripada pembayaran dividen, amat menghargai sokongan diberikan oleh kerajaan.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, LTAT akan terus memperkasakan prospeknya melalui pelan transformasi yang sedang digiatkan dengan menumpukan kepada pengukuhan dan pengimbangan semula portfolio pelaburannya.
Pada masa sama menambahbaik struktur organisasi, pengurusan risiko, amalan tadbir urus korporat serta pembangunan sumber manusia, katanya.
"Tabung kini berada dalam tahun ketiga perjalanan transformasi ini, di mana 41 dan 53 inisiatif berjaya dilaksanakan masing-masing pada 2019 dan 2020.
"Tambahan sebanyak 77 inisiatif lagi akan dilaksanakan pada 2021 dengan matlamat untuk memperkukuh operasi dan prestasi kewangan LTAT serta anak-anak syarikatnya," katanya.
Ismail Sabri berkata, tahun ini LTAT telah memulakan proses penstrukturan semula portfolio pelaburannya secara berperingkat dengan fokus kepada instrumen pendapatan tetap serta mempertingkatkan pelaburan ekuiti awamnya.
Sehingga 31 Dis 2020, aset-aset di bawah pengurusan LTAT berada pada RM9.6 bilion. - BERNAMA