LTAT aktifkan sukarelawan Jalinan Wira, perkukuh komitmen terhadap pencarum

Astro Awani
Mac 21, 2025 19:15 MYT
Mohammad Ashraf menegaskan, usaha ini merupakan komitmen LTAT dalam memastikan sumbangan kepada anggota ATM terus diperkasakan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Bagi menghargai jasa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta selari aspirasi Malaysia Madani, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah mengaktifkan pasukan sukarelawan Jalinan Wira yang terdiri daripada warga kerjanya sepanjang bulan Ramadan.
LTAT dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memperluaskan usaha menganjurkan program santuni warga ATM di dua lokasi strategik termasuk Batalion ke-5 Rejimen Sempadan, Kem Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada 13 Mac 2025 dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada 20 Mac 2025.
Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi menegaskan, usaha ini merupakan komitmen LTAT dalam memastikan sumbangan kepada anggota ATM terus diperkasakan.
"Inisiatif ini adalah salah satu usaha warga LTAT untuk menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan anggota ATM yang tanpa henti, tetap teguh menjalankan tugas demi menjaga keselamatan negara,
walaupun dalam bulan Ramadan dan Syawal.
"Warga kerja LTAT menunjukkan dedikasi luar biasa dalam melangkaui tanggungjawab harian mereka untuk terlibat secara langsung dengan para pencarum.
"Sama ada menyediakan Bubur Lambuk di bulan Ramadan, membantu veteran ketika bencana banjir, atau memelihara alam sekitar, kami komited untuk meluangkan lebih banyak masa sebagai sukarelawan di luar tugas rasmi.
"Inisiatif ini bukan sekadar program biasa tetapi merupakan satu komitmen yang berterusan untuk membalas jasa mereka yang telah mengabdikan hidup demi negara," tambah beliau.
Sehingga kini, pasukan sukarelawan Jalinan Wira LTAT telah mencatatkan lebih daripada 1,300 jam sukarelawan, melibatkan lebih daripada 170 warga kerja LTAT.
Selain itu, LTAT turut menganjurkan taklimat celik kewangan bagi memberi pendedahan kepada anggota ATM mengenai pengurusan kewangan, perlindungan sosial serta manfaat persaraan.
Ini bagi memastikan anggota ATM bukan sahaja dihargai, malahan juga dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang penting untuk kesejahteraan kewangan mereka, baik semasa berkhidmat mahupun selepas persaraan.
#ATM #Angkatan Tentera Malaysia #TLDM #Ramadan #Jalinan Wira
;