LSANK selesai perinci maklumat, bantu Kedah tuntut caj air mentah dari P. Pinang - Menteri Besar

Abd Hadi Che Awang
Januari 12, 2021 17:44 MYT
Muhammad Sanusi Md Nor turut mengingatkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang agar tidak masuk campur dalam urusan tuntutan bayaran caj air mentah yang diekstrak Pulau Pinang. - Gambar fail
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan bahawa Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) sudah selesai memperincikan maklumat penuh berkaitan kebergantungan Pulau Pinang terhadap sumber air dari negeri Jelapang Padi itu.
Menurut beliau, pihaknya sudah menerima taklimat mengenai perkara terbabit termasuk mengenai hal berkaitan perjanjian dan sejarah melibatkan kedua-dua negeri dalam isu itu sekali gus dilihat dapat membantu mendapatkan bayaran caj air mentah yang diekstrak Pulau Pinang.
Dalam masa sama, Sanusi mengingatkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang juga syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) tidak masuk campur dalam urusan berkenaan.
Tegas Sanusi, isu berkenaan hanya boleh diselesaikan melalui rundingan yang dibuat kedua-dua kerajaan negeri bukannya melalui syarikat berkenaan.
Beliau turut menyatakan bahawa akan terus menerus mendesak agar hak negeri Kedah dapat dikembalikan dan menzahirkan keyakinan berada di pihak yang benar.
"Saya telah mendapat taklimat daripada LSANK terhadap beberapa isu tentang kebergantungan Pulau Pinang terhadap sumber air di Kedah dan saya akan memperhalusi taklimat ini berkaitan dengan sejarah dan undang-undang yang telah ditandatangani.
“Kita akan terus mengkaji proses yang boleh diambil, cuma nasihat saya ialah kita kerajaan negeri akan deal (berurusan) dengan kerajaan negeri, kita tidak akan deal dengan syarikat, saya ingin ingatkan kepada syarikat khususnya PBA Pulau Pinang tidak lagi (masuk campur),” kata Sanusi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Selasa.
BACA: Caj air mentah: Kerajaan Pulau Pinang enggan 'perang mulut' dengan Kedah - Chow Kon Yeow
BACA: Caj air mentah: Pulau Pinang tidak akan bayar walau satu sen pada Kedah - Ramasamy
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata, wujud perbezaan ketara membabitkan penggunaan air oleh Perlis dan Pulau Pinang ketika mengulas mengenai cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Kedah yang mahu kerajaan negeri itu turut membuat tuntutan sama ke atas negeri jiran itu.
Menurutnya, kerajaan Kedah pernah membuat tuntutan kepada Perlis sebelum ini namun penggunaan air tidak begitu banyak berbanding Pulau Pinang yang mana 85 peratus bekalan air di negeri itu datang dari negeri ini.
Pada Khamis, kesemua 11 ADUN Pakatan Harapan (PH) Kedah menyokong penuh tindakan yang dibuat Sanusi dalam membuat tuntutan bagi caj pembekalan air mentah ke atas kerajaan negeri Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi PH Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi menegaskan, kaedah yang lebih berhemah perlu digunakan dalam melakukan perbincangan antara kedua-dua negeri selain mengelakkan sebarang kenyataan berbaur provokasi daripada kedua-dua belah pihak.
Caj air | ADUN PH sokong tindakan kerajaan negeri Kedah
#caj air mentah #Kedah #pulau pinang #Menteri Besar #Muhammad Sanusi Md Nor #Lembaga Sumber Air Negeri Kedah #Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang
;