LRT3 mula beroperasi suku ketiga 2025 - Anthony Loke
Madiha Abdullah
Julai 29, 2024 13:25 MYT
Julai 29, 2024 13:25 MYT
KLANG: Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun hadapan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerja-kerja fizikal dan penstrukturan sudah mencecah 95 peratus dan dijangka siap pada Oktober ini.
Ia akan disusuli kerja-kerja pengintegrasian sistem dan perkhidmatan dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi pada suku ketiga tahun hadapan.
"Selepas itu, tumpuan akan beralih kepada penyepaduan sistem sehingga awal tahun depan.
"Memang terdapat sedikit kelewatan kerana COVID-19, terdapat banyak kerja yang kita tak dapat jalankan.
“Tetapi pihak Prasarana dan kontraktor terlibat bersungguh-sungguh cuba mengejar masa yang tertunda untuk mengurangkan kelewatan supaya perkhidmatan boleh dimulakan pada Ogos atau September tahun depan."
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan bagi melihat status terkini projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Stesen Pasar Jawa, pada Isnin.
Sementara itu, Loke memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju untuk mengembalikan skop projek LRT3 dengan tambahan semula lima stesen iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja, dan Bandar Botanik.
Kos pengembalian skop projek LRT3 berjumlah RM3.8 bilion itu dijangka siap pada 2027.
“Kita juga akan buat pembelian tambahan tujuh set tren tiga gerabak, pembesaran depot tren di Johan Setia, pembelian 150 bas pengantara elektrik, dan pembinaan tiga depot bas,” katanya lagi.