LRT terkandas, Rapid Rail diminta beri penjelasan
Bernama
September 9, 2016 18:20 MYT
September 9, 2016 18:20 MYT
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta Rapid Rail Sdn Bhd memberi penjelasan mengenai gangguan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) membabitkan laluan Setiawangsa-KLCC hari ini.
Beliau menganggap insiden kedua dalam tempoh seminggu itu sebagai membimbangkan.
"@MyRapidKL should explain LRT breakdown this morning. Concerned abt recent disruptions. Two breakdowns in a week is very worrying," katanya dalam catatan Twitter beliau hari ini.
Insiden itu berlaku pada waktu puncak 9 pagi tadi apabila sebuah tren dari Datuk Keramat menuju ke Jelatek tiba-tiba terhenti di atas trek di antara Stesen Datuk Keramat dan Damai, menyebabkan penumpang terperangkap di dalam tren selama 20 minit.
Semua penumpang kemudian diarahkan keluar dan berjalan di atas trek menuju ke Stesen Damai, yang mengambil masa hampir 10 minit.
Menurut Twitter Rapid KL, servis bagi kedua-dua perjalanan itu pulih semula kira-kira 11.45 pagi.
Pada Rabu lepas, ribuan pengguna perkhidmatan LRT terkandas berikutan masalah teknikal yang menyebabkan keseluruhan perkhidmatan dari laluan Gombak hingga Putra Heights terjejas bermula 7 pagi.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada hari sama meminta Rapid Rail Sdn Bhd mengemukakan laporan penuh mengenai gangguan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya itu selewat-lewatnya pada 21 Sept ini.
#Datuk Keramat menuju ke Jelatek
#gangguan perkhidmatan LRT
#Liow Tiong Lai
#Rapid KL
#Rapid Rail Sdn Bhd