LRT tergendala sekali lagi: Penumpang terpaksa berjalan di tepi landasan dalam hujan
Kohilah Sekaran
September 9, 2016 13:24 MYT
September 9, 2016 13:24 MYT
PERJALANAN pengguna perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) aliran Kelana Jaya pada pagi Jumaat sekali lagi terjejas akibat masalah gangguan teknikal berikutan cuaca hujan lebat.
Kronologinya bermula pada kira-kira pukul 7 pagi, apabila RapidKL melalui akaun Twitter rasminya menyatakan bahawa perkhidmatan tren aliran Kelana Jaya mengalami 'masalah teknikal' dan sedang diperbaiki.
RapidKL kemudian mengumumkan perkhidmatannya kembali pulih pada jam 8 pagi.
Bagaimanapun, perkhidmatan tren itu kemudiannya sekali lagi dilaporkan tergendala disebabkan gangguan bekalan elektrik di salah sebuah tren dari stesen Setiawangsa menuju ke stesen KLCC.
Tren itu dipercayai dikosongkan dan penumpang terpaksa berjalan kaki di tepi landasan LRT ke stesen Damai di bawah hujan yang masih belum reda.
Kira-kira jam 10 pagi, kerja memulihkan bekalan elektrik bagi keseluruhan laluan selesai. Perkhidmatan kembali pulih.
Seperti biasa, media sosial dijadikan medium untuk membuat aduan dan melaporkan situasi terkini kejadian tersebut.
Netizen melahirkan rasa tidak puas hati dengan keberkesanan perkhidmatan LRT yang sering berhadapan dengan masalah teknikal lebih-lebih lagi pada musim hujan.
Malah, ada yang mempersoalkan isu keselamatan pengguna yang diminta berjalan di tepi landasan tren itu.
Menyifatkan perkhidmatan LRT sebagai 'kurang memuaskan', pengguna menyeru pihak berkuasa untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah ini dengan secepat mungkin.
Setakat ini masih belum ada penjelasan daripada pihak Prasarana berkenaan punca kejadian.
Bagaimanapun, difahamkan satu sidang media akan diadakan pada pukul 3 petang nanti.
Ini adalah gangguan perkhidmatan kedua dalam tempoh seminggu.