LRT Pulau Pinang: Mobiliti, pemangkin pelancongan dan tidak ancam perkhidmatan feri

Bernama
April 9, 2024 05:40 MYT
Jajaran LRT yang dijangka bermula dari Pulau Silikon hingga ke Komtar, seterusnya bersambung ke Penang Sentral di Seberang Perai itu, bakal menjadi pemangkin kepada industri pelancongan Pulau Pinang. - Gambar faial/Bernama
GEORGE TOWN: Pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang, dilihat sebagai pengangkutan alternatif penduduk negeri ini bagi mengatasi masalah trafik dan memudahkan penduduk kawasan bandar kecil, berhubung dengan pusat bandar serta tanah besar.
Jajaran LRT yang dijangka bermula dari Pulau Silikon hingga ke Komtar, seterusnya bersambung ke Penang Sentral di Seberang Perai itu, bakal menjadi pemangkin kepada industri pelancongan negeri ini yang sememangnya kaya dengan Tapak Rizab Biosfera Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Penganalisis dan pakar sistem pengangkutan, Abi Sofian Abdul Hamid berkata, jajaran itu, menyambungkan tempat strategik yang menepati aspek permintaan dan penawaran pengguna, dengan setiap stesen menjadi hub pengangkutan yang efisien serta mudah diakses.
"Justeru itu jaringan sokongan 'kilometer terakhir' dan yang berkaitan perlu diambil kira. Ini termasuk pengangkutan ulang-alik dan kemudahan parkir.
"Jika dilihat kepada pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), projek ini juga akan melibatkan konsept pembangunan transit, di mana stesen LRT akan menjadi tarikan kepada pembangunan untuk kediaman dan pusat pekerjaan," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengasas Thought Partners Group Consulting (TPG) menjelaskan, projek tersebut dapat membantu dari aspek mobiliti hijau dengan pengurangan penggunaan kenderaan dan pengeluaran karbon sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), jika semua perkara didasarkan kepada dapatan kajian dan dilaksanakan dengan jitu.
Secara teorinya, beliau berkata, dengan adanya stesen di lokasi yang menjadi tarikan pelancong, ia pastinya memudahkan pergerakan pelancong dari satu tarikan ke tarikan yang lain, termasuk Stesen Penang Sentral yang menawarkan pergerakan seterusnya melalui mod pengangkutan yang berbeza.
Mengulas mengenai keputusan Kerajaan Persekutuan mengambil alih secara rasmi projek LRT tersebut daripada kerajaan negeri, Abi Sofian berkata ia akan memastikan pelbagai aspek pengurusan projek akan dijalankan dengan lebih baik, memandangkan ia melibatkan MRT Corp yang cukup berpengalaman dalam menyediakan pengangkutan pantas di Lembah Klang.
Sementara itu, Perunding Perniagaan Industri Pelancongan dan Pengangkutan, YS Chan berkata, selain memberi manfaat kepada penumpang, pelancongan industri pastinya akan mendapat rangsangan, memandangkan Pulau Pinang telah mempamerkan kecemerlangan dalam pembuatan produk berteknologi tinggi, yang bukan sahaja diiktiraf di Malaysia tetapi juga di peringkat global.
"Pengunjung tidak perlu lagi mengharungi kesesakan lalu lintas kerana perjalanan menggunakan LRT adalah mudah dan mereka akan teruja melihat sebilangan besar penduduk tempatan menikmati kemudahan itu. Bagaimanapun, perancangan keseluruhan laluan LRT mestilah dilakukan dengan teliti dan lokasi stesen yang dirancang mestilah strategik," katanya.
Bila ditanya sama ada pembinaan LRT akan menjejaskan operasi perkhidmatan feri, Chan yang merupakan Jurulatih Induk Pelancongan ASEAN, percaya ia bukanlah suatu isu kerana perkhidmatan feri hanyalah pelengkap kepada perkhidmatan jalan raya dan rel.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pula menyifatkan projek LRT tersebut, akan memberi pelbagai manfaat dari segi pembangunan sosioekonomi kepada penduduk di Pulau Mutiara itu untuk jangka masa panjang.
Meskipun projek LRT itu tidak dapat menyelesaikan 100 peratus masalah kesesakan lalu lintas, namun beliau yakin ia dapat membantu rakyat yang terpaksa berdepan dengan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin mendesak.
Projek LRT dengan jarak jajaran dianggarkan kira-kira 29 kilometer dengan 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral itu, dijangka dimulakan pada September atau Oktober tahun ini.
Kemudahan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan tren elektrik (ETS) turut disediakan pada jajaran LRT Mutiara, yang disasarkan beroperasi pada 2030 itu.
Minggu lepas, Kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri dan keputusan itu dicapai susulan keputusan jemaah menteri yang meluluskan cadangan pembangunan projek berkenaan pada 22 Mac. - BERNAMA
#KTMB #kesesakan lalu pintas #ASEAN #LRT Mutiara
;