LRT laluan Kelana Jaya kembali beroperasi sepenuhnya hari ini

Luqman Hariz
Mei 28, 2021 16:16 MYT
Menurut Ka Siong, dua gerabak tren yang terlibat dalam pelanggaran telah ditarik dan dibawa balik ke depot. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi sepenuhnya pada jam 3.45 petang Jumaat.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong selepas kerja-kerja pemulihan berlangsung selama lima hari susulan pelanggaran dua gerabak tren di laluan itu pada 24 Mei lalu.
Proses tersebut menyebabkan hanya satu daripada dua landasan di laluan tersebut boleh digunakan sekali gus meningkatkan waktu menunggu penumpang kepada kira-kira 16 minit bagi setiap tren.
Ka Siong berkata, keseluruhan proses pemulihan itu melibatkan 367 kakitangan Rapid Rail Sdn Bhd.
BACA: LRT bertembung: Dua tren berjaya dibawa keluar lebih awal
Insiden LRT | Tren berjaya dibawa keluar, awal dari jangkaan
Ia melibatkan proses pembersihan serpihan, mengeluarkan gerabak tren dan baik pulih landasan.
“Dua gerabak tren yang terlibat dalam pelanggaran telah ditarik dan dibawa balik ke depot.
“Selepas itu adalah kerja baik pulih landasan. Ia telah berjalan dengan lancar dan jam 11.30 malam Khamis, 10 orang pegawai dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah melakukan pemeriksaan terhadap apa yang telah dibuat oleh pihak Rapid Rail.
“Kita pastikan aspek keselamatan dapat kita semak, diperiksa dan selamat digunakan, barulah kita buka (semula),” katanya.
Ka Siong berkata, kedua-dua landasan laluan tersebut akan menyambung operasi seperti sediakala sebelum waktu kemuncak bermula pada petang Jumaat.
Beliau turut mengesyorkan orang ramai akan keselamatan tren dan gerabak tersebut.
Beliau bagaimanapun berkata, kapasiti penumpang setiap gerabak masih dihadkan kepada 50 peratus, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
#Wee Ka Siong #LRT #Insiden LRT bertembung #perintah kawalan pergerakan #PKP 3 0 #tren #SOP PKP 3 0 #gerabak LRT
;