LRT bertembung: Trauma masih menghantui - Mangsa

Fareez Azman
Mei 29, 2021 14:43 MYT
Nur Fasihah Aljiiah Kamarulzaman (kanan) ditemani ibunya Zarina Zakaria, ketika ditemui Astro Awani di kediamannya di Klang baru-baru ini. Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: 'Saya bersyukur diberikan peluang kedua, namun masih trauma.'
Itu luahan mangsa nahas tren Transit Aliran Ringan (LRT) di laluan Kelana Jaya yang bertembung pada 24 Mei lalu, Nur Fashihah Aljiiah Kamarulzaman, 26, ketika mengimbau kembali detik cemas kejadian itu.
Nur Fashihah berkata pada hari Isnin malam itu dia baru sahaja selesai bertugas di salah sebuah syarikat perbankan di Ampang, ibu negara sebelum melangkah pulang menuju ke Stesen LRT KLCC.
"Sebelum naik tren, terdetik di hati hendak minta adik saya menjemput di pejabat.
"Namun saya fikir macam menyusahkan dia, jadi saya pun memilih untuk naik tren. Masa (melangkah) masuk tren itu pun terdetik hati, tetapi saya hendak balik cepat jadi saya teruskan. Tidak disangka ini berlaku," katanya.
Rempuhan yang dahsyat
Bermula dengan perjalanan yang tenang, namun hanya dalam tempoh beberapa saat suasana bertukar menjadi huru-hara.
Nur Fasihah tersembam hampir satu meter dari lokasi asalnya akibat rempuhan terbabit sebelum tidak sedarkan diri.
Beberapa minit kemudian, Nur Fasihah mula kembali sedar dan menyedari dia cedera akibat kepalanya terhantuk di besi pemegang berhampiran pintu LRT.
Menyedari situasi yang buruk, dia hanya mampu menenangkan diri ketika ada penumpang yang menjerit kesakitan akibat kecederaan.
"Saya dapat rasa tren itu buat hentian mengejut, sebab kita dapat rasa macam impak macam tu.
"Masa itu saya tidak berapa ingat, (sebab) kepala saya terhantuk di besi pemegang. Bila saya sedar, saya terbaring di sebelah kiri, saya cuba bangun dan duduk.
"Saya tengok keadaan sekeliling masa itu, huru-hara ada (mangsa) yang tercampak ke bawah menangis, saya tengok ada mangsa yang berdarah, cermin LRT pun retak," katanya sambil mengusap air mata.
Jelas Nur Fasihah, dia cedera di bahagian kaki, lebam di badan serta benjol di bahagian kepala akibat terhantuk.
Tidak cukup dengan itu, trauma yang dialaminya terus membuatkan Nur Fasihah sering teringat-ingat detik cemas kejadian.
Masih trauma
"Sehari selepas kejadian, bila hendak naik kereta jadi macam saya terfikir bukan-bukan, tetapi mak saya tenangkan saya sebab kami dalam perjalanan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
"Saya cuba untuk kuatkan semangat, kita kena teruskan kehidupan dan saya akan cuba lawan trauma dilalui ini. Mungkin agak susah tetapi saya akan cuba," katanya.
Malah dia juga tidak dapat tidur dengan tenang, apabila fikirannya asyik mengenang kejadian menimpanya dan penumpang lain.
Terdetik pula di hatinya, bagaimana jika tren terbabit berkelajuan lebih daripada 40 kilometer sejam atau sedang melalui landasan terbuka?
"Saya terfikir kalaulah kejadian ini berlaku ketika tren bergerak kelajuan lebih 40 kilometer sejam, (tunduk) mungkin kejadian selepas Stesen Masjid Jamek ke, saya rasa mungkin tren boleh terbalik," katanya.
Hilang keyakinan
Bagaimanapun, Nur Fasihah mengakui bahawa dirinya kini seolah-olah hilang keyakinan untuk menaiki tren ke tempat kerja.
Meskipun tidak menolak, beliau tetap akan menggunakan perkhidmatan itu pada masa akan datang, tetapi detik hitam itu tidak akan dilupakannya.
"Tidak pernah terfikir sebelum ini saya naik LRT, pada saya ini pengangkutan paling selamat tetapi bila jadi macam ini, saya agak trauma.
"Kejadian ini pelik, memang saya tidak sabar hendak tunggu hasil siasatan macam mana. Hendak tahu apa sebenarnya terjadi, macam mana perkara ini boleh terjadi," ujarnya lagi.
Tren Bertembung | 'Saya tercampak satu meter ketika kejadian'
Keluarga terkejut
Dalam pada itu, ibu kepada Nur Fasihah, Zarina Zakaria, 48, ketika ditemui turut terkejut dengan kejadian menimpa anaknya selepas dimaklumkan sendiri oleh mangsa menerusi perbualan telefon.
"Mula-mula dia telefon sambil menangis, Shiha maklumkan dia kemalangan, saya pun terfikir macam mana LRT boleh kemalangan?" katanya.
Namun apabila melihat beberapa video yang tular di laman sosial dengan keadaan penumpang mengalami pendarahan serta ada yang menangis membuatkan Zarina cemas.
"Tetapi bila dia kata kaki sebelah kiri dia tidak boleh bergerak, dalam hati saya tuhan sahaja tahu macam mana risaunya seorang ibu," katanya.
Bergegas ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bersama suaminya dari Klang, Zarina hanya mampu menunggu berita keadaan anaknya menerusi panggilan telefon dari mangsa.
BACA: Prasarana minta 83 penumpang tampil untuk urusan sumbangan ihsan
BACA: Nahas LRT | Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi sepenuhnya
Harap siasatan telus
Lega anaknya tidak mengalami kecederaan yang serius, bagi Zarina, siasatan yang telus amat diharapkan semua keluarga penumpang, agar keadilan serta punca kejadian dapat diketahui.
"Saya hendak siasatan ini cepat, sebab kita kalau boleh tidak hendak perkara ini berulang lagi, pengangkutan awam ini kita perlu di Lembah Klang ini.
"Tetapi pada masa sama, saya bagi penghargaan kepada anggota bomba, polis, Hospital Kuala Lumpur, APM dan semua yang membantu penumpang serta anak saya," ujar Zarina lagi.
Dalam kejadian itu, 47 penumpang cedera parah dan 166 lagi cedera ringan selepas Tren 40 dan Tren 81 LRT terbabit bertembung kira-kira 100 meter dari Stesen KLCC.
Kejadian kira-kira jam 8.33 malam itu adalah kejadian pertama selepas 23 tahun pengangkutan awam itu beroperasi.
#LRT #LRT bertembung #mangsa #kejadian #Stesen KLCC #Kg Baru #prasarana #pengangkutan awam #tren #penumpang #cedera #cedera parah #Klang #APAD #Kementerian Pengangkutan #Prasarana Malaysia Berhad
;