LRT bertembung: 'Setiap orang ada haknya, begitu juga dalam kes ini' - Ka Siong
Luqman Hariz
Mei 28, 2021 16:37 MYT
Mei 28, 2021 16:37 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata kementeriannya dan Prasarana Malaysia Berhad tiada pilihan melainkan berdepan tindakan undang-undang, jika ia diambil oleh mana-mana penumpang yang cedera dalam insiden pelanggaran tren Transit Aliran Ringan (LRT) di laluan Kelana Jaya pada 24 Mei lalu.
“Malaysia adalah sebuah negara demokratik. Apa saja tindakan yang mengikut lunas undang-undang, kita tidak boleh elak, jadi kita akan berdepan dengannya.
“Saya serahkan kepada pihak Prasarana. Ini adalah perkara biasa. Setiap orang ada hak, begitu juga dalam kes ini.
Ka Siong berkata, pihaknya juga akan sentiasa mengikut lunas undang-undang dalam setiap tindakan yang diambil.
Kos pembaikan LRT yang rosak akan ditentukan oleh Prasarana
Dalam kejadian pada 8.45 malam 24 Mei lalu, 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.
Pelanggaran tersebut menyebabkan satu daripada dua landasan di laluan Kelana Jaya terpaksa ditutup.
Laluan tersebut dibuka semula selepas kerja-kerja pembersihan dan pemulihan selesai pada jam 3.45 petang Jumaat.
Ka Siong bagaimanapun tidak mendedahkan kos keseluruhan proses pemulihan tersebut yang melibatkan kerja-kerja membersihkan serpihan, mengeluarkan gerabak tren dan membaiki landasan.
“Kos akan ditentukan oleh pihak Prasarana. Apa yang kita minta kepada pihak operator adalah hanya segera pulihkan perkhidmatan seperti sediakala,” katanya.
Kos keseluruhan pemulihan dan pembersihan landasan tersebut akan diteliti dan ditanggung sepenuhnya oleh Prasarana.
#prasarana
#Wee Ka Siong
#LRT Laluan Kelana Jaya
#LRT bertembung
#Kementerian Pengangkutan
#pembersihan landasan
#pemulihan landasan