LRT bertembung: Semua petugas terlibat tidak dibenarkan kendalikan operasi tren
Ridauddin Daud
Mei 25, 2021 19:57 MYT
Mei 25, 2021 19:57 MYT
KUALA LUMPUR: Semua kakitangan yang terlibat dalam kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya malam tadi tidak dibenarkan bertugas buat masa ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, itu adalah prosedur operasi standard (SOP) biasa yang diamalkan dalam perkhidmatan pengangkutan awam.
"Kita ada SOP. Mana-mana pihak yang dalam perkhidmatan (pengangkutan) awam yang terlibat (dalam insiden itu) tidak lagi dibenarkan mengendalikan operasi (untuk sementara waktu).
"Ini kerana kita perlu berlaku adil kepada semua. Kita kena siasat dari semua sudut," katanya dalam sidang media di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Selasa.
Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Pengarah HKL, Datuk Dr Heric Corray.
Nahas LRT | Punca disebabkan kecuaian manusia - Laporan awal
Pada masa sama, Ka Siong turut memuji kecekapan semua anggota penyelamat dan petugas kesihatan yang bertungkus-lumus memberi rawatan kepada mangsa kemalangan tersebut.
"Kes itu berlaku pada 8.33 malam dan hampir 8.50 malam, semua anggota keselamatan sudah tiba di lokasi kejadian... hanya 15 minit.
"Terima kasih di atas kecekapan dan bantuan diberikan. Difahamkan kakitangan HKL sampai pagi bertungkus-lumus beri rawatan kepada pesakit, ada yang tidak tidur.
"Ini adalah satu semangat berpasukan yang sangat bagus," ujarnya.
Semalam, seramai 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 cedera ringan dalam kemalangan melibatkan sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.
Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca insiden dan menjangkakan laporan hasil siasatan akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu.
#LRT bertembung
#klana jya
#klana jaya
#KLCC
#Kampung Baru
#petugas
#tidak dibenarkan kendali tren
#digantung