LRT bertembung: Polis minta orang ramai tidak buat spekulasi

Bernama
Mei 25, 2021 12:47 MYT
MOHAMAD ZAINAL: Janganlah cuba membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang bertembung berdekatan Stesen LRT KLCC di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah meminta orang ramai memberi ruang kepada pasukan panel penyiasat khas untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung insiden itu.
"Dalam tempoh ini, orang ramai atau mana-mana pihak janganlah cuba membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad Zainal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan individu yang mengaitkan insiden berkenaan dengan serangan siber.
Semalam, seramai 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 cedera ringan dalam insiden pada 8.45 malam melibatkan sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.
Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca insiden terbabit.
-- BERNAMA
#Mohamad Zainal Abdullah #Dang Wangi #LRT #tren #pertembungan #LRT Kelana Jaya #KLCC #Kementerian Pengangkutan #panel penyiasat #spekulasi #ketenteraman awam
;